Siaran Akhbar dan Foto : Pejabat Peguam Negara
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 15 Oktober. - Pejabat Harta Intelek Brunei (BruIPO), Pejabat Peguam Negara hari ini telah mengadakan Sambutan Hari Harta Intelek Sedunia 2026 yang bertemakan ‘IP and Sports : Ready, Set, Innovate’, bertempat di Dewan Jubli Emas, Bangunan Undang-Undang dan Mahkamah-Mahkamah, Pejabat Peguam Negara.
Acara berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan Harta Intelek (IP) dalam industri sukan, khususnya dalam menyokong inovasi, melindungi jenama dan karya kreatif, serta mewujudkan pelbagai peluang komersial bagi para atlet, organisasi sukan, usahawan dan perniagaan.
Hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib, merangkap Pendaftar Tanda Perniagaan, Paten dan Reka Bentuk Perindustrian.
Yang Berhormat Peguam Negara, dalam ucaptama menekankan kepentingan IP dalam menggalakkan kreativiti, inovasi dan pertumbuhan ekonomi dalam sektor sukan Negara Brunei Darussalam (NBD), sejajar dengan tema Hari Harta Intelek Sedunia 2026, iaitu ‘IP and Sports: Ready, Set, Innovate’.
Yang Berhormat turut menekankan bahawa IP bukan sahaja merangkumi ciptaan dan produk perniagaan, malah juga meliputi penjenamaan sukan, logo, kandungan media, peralatan inovatif, teknologi digital dan jenama peribadi atlet.
“Para atlet, persatuan sukan, usahawan, pelajar dan penyelidik digalakkan untuk memahami, melindungi dan mengurus IP mereka dari peringkat awal bagi melindungi idea-idea dan pencapaian mereka, mewujudkan peluang komersial serta menggalakkan inovasi.
“Pada dasarnya, peningkatan kesedaran mengenai Harta Intelek dan pengurusan IP yang berkesan akan membantu merealisasikan nilai idea dan bakat tempatan, menyokong pembangunan ekosistem sukan NBD secara mampan, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan,” ujar Yang Berhormat lagi.
Acara berkenaan menghimpunkan wakil-wakil kerajaan, wakil-wakil persatuan sukan, institusi-institusi pendidikan dan pihak-pihak berkepentingan lain bagi menekankan peranan penting IP dalam menyokong inovasi, kreativiti, penjenamaan dan peluang komersial dalam industri sukan.
Majlis pembukaan turut menampilkan tayangan hasil penyertaan yang diterima bagi Pertandingan Video sempena Hari Harta Intelek Sedunia 2026, diikuti dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan.
Pertandingan berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dianjurkan bersempena dengan sambutan berkenaan bagi menggalakkan kreativiti, inovasi dan peningkatan kesedaran mengenai IP.
Acara berkenaan turut menampilkan dua sesi perbincangan. Sesi pertama, iaitu ‘Membina Identiti dan Peluang Dalam Sukan’ (Building Identity and Opportunities in Sports), menghimpunkan wakil-wakil dari Persatuan Angkat Berat, Khalifa Mixed Martial Arts dan Persekutuan Wushu Negara Brunei Darussalam untuk berkongsi pengalaman dan pandangan mereka mengenai penjenamaan atlet, peluang penajaan, inovasi serta kepentingan melindungi identiti dan kepentingan komersial mereka melalui IP.
Manakala sesi kedua, iaitu ‘Inovasi, Penjenamaan dan Pengkomersialan Dalam Sukan’ (Innovation, Branding and Commercialisation in Sports) pula menampilkan wakil-wakil dari BruIPO, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) dan Hybrid Movement.
Perbincangan berkenaan memberi tumpuan kepada peranan IP dalam melindungi inovasi, produk, penjenamaan dan kandungan kreatif berkaitan sukan, di samping menyokong keusahawanan dan pertumbuhan perniagaan dalam industri sukan.
Acara berkenaan turut merangkumi aktiviti interaktif ‘Ready, Set, Innovate! Sports & IP Quiz Challenge’, diikuti dengan aktiviti penglibatan sukan dan demonstrasi yang menampilkan organisasi sukan tempatan, yang menekankan hubungan antara sukan, inovasi dan IP.
Melalui Sambutan Hari Harta Intelek Sedunia berkenaan, BruIPO meneruskan usahanya untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai IP serta peranannya dalam menggalakkan inovasi, kreativiti dan peluang komersial, khususnya dalam industri sukan NBD.