Menangani pengangguran, memperluas peluang pekerjaan terus menjadi keutamaan

16 Okt 2026 - 8:25am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

JERUDONG, Khamis, 15 Oktober. - Cabaran pengangguran negara berdasarkan Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2025, merekodkan peningkatan kadar pengangguran daripada 4.7 peratus pada 2024 kepada 5.0 peratus pada 2025, bersamaan kira-kira 11,600 pencari kerja.

 Kadar pengangguran belia berumur 18 hingga 24 tahun pula dicatatkan pada 18.0 peratus.

 Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Acara Kemuncak Jelajah Kerjaya 2026 anjuran Pusat Pekerjaan Brunei (PPB), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, di BRIDEX, Jerudong.

Jelas Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri lagi, usaha menangani pengangguran dan memperluaskan peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan terus menjadi keutamaan yang memerlukan perhatian serius serta tindakan yang berterusan dan bersepadu oleh semua peringkat, termasuk pihak kerajaan, swasta dan orang ramai.

 Keberkesanan Jelajah Kerjaya tegas Yang Berhormat, perlu dinilai berdasarkan kepada hasil pekerjaan sebenar, iaitu sejauh mana pencari kerja tempatan memperoleh pekerjaan yang berkualiti dan bersesuaian, dan setiap peluang pekerjaan yang ditawarkan hendaklah mempunyai kesinambungan dan tindakan susulan, dan tidak berakhir setakat Jelajah Kerjaya sahaja. 

Ini tambah Yang Berhormat lagi, termasuk memantau sama ada calon dipanggil menghadiri temu duga, menerima tawaran, ditempatkan, kekal bekerja dan menerima gaji sebagaimana yang dijanjikan, selain mengenal pasti cabaran yang menyebabkan kekosongan jawatan belum dapat diisi.

 Yang Berhormat turut menyentuh akan kepentingan laluan kerjaya alternatif melalui ekonomi ‘gig’, keusahawanan, pekerjaan bebas dan perniagaan digital, termasuk melalui sesi perkongsian Career 360. 

“Penyertaan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) pula menyediakan ruang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat mengenai keusahawanan, program latihan, pembiayaan dan sokongan berkaitan,” jelas Yang Berhormat lagi. 

Menyentuh tanggungjawab bersama dalam pembangunan tenaga kerja, Yang Berhormat menegaskan bahawa kerjasama antara kerajaan, majikan, institusi pendidikan dan latihan, masyarakat serta pencari kerja diperlukan bagi mengenal pasti keperluan kemahiran industri lebih awal dan memastikan pendidikan, latihan serta padanan pekerjaan lebih menepati permintaan pasaran. 

“Kepada pihak majikan, saya menyeru agar peluang yang ditawarkan disertai komitmen untuk mengambil dan membangunkan pekerja tempatan. 

“Pengalaman hanya dapat dibina apabila seseorang itu diberikan peluang untuk bermula. Justeru, anak-anak tempatan bukan sahaja hanya diambil bekerja, malah terus dibimbing dan dibangunkan sebagai tenaga kerja yang produktif dan berkemahiran,” kata Yang Berhormat. 

Yang Berhormat juga memberikan perhatian kepada aspek ganjaran yang setimpal dan kemajuan kerjaya. Berdasarkan Banci Majikan 2025, lebih 5,600 pekerja tempatan direkodkan menerima gaji di bawah BND500 sebulan, termasuk 345 pemegang ijazah sarjana muda dan ke atas. 

Yang Berhormat turut menggesa agar majikan mengambil kira kelayakan, kemahiran, pengalaman, tanggungjawab dan sumbangan pekerja, di samping menyediakan ruang untuk peningkatan gaji dan kerjaya. Ganjaran yang setimpal dapat membantu majikan menarik, membangunkan dan mengekalkan bakat tempatan.

 Oleh yang demikian, Yang Berhormat juga mengingatkan majikan mengenai kepentingan mematuhi Perintah Pekerjaan (Upah Minimum) yang dilaksanakan secara berfasa sejak 2023 dan kini meliputi tujuh sektor, serta peruntukan undang-undang pekerjaan yang berkaitan.

 Kepada para pencari kerja, Yang Berhormat seterusnya mengingatkan pekerjaan pertama tidak semestinya pekerjaan terakhir, sebaliknya merupakan tempat untuk belajar, membina pengalaman dan membuka pintu kepada peluang yang lebih besar pada masa hadapan.

 Dalam menghadapi perubahan dunia pekerjaan akibat Kecerdasan Buatan (AI), pendigitalan dan teknologi baharu kata Yang Berhormat lagi, kelayakan sahaja tidak lagi mencukupi; sebaliknya terdapat keperluan untuk sentiasa belajar, meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri dengan perubahan. 

“Saya turut menekankan kepentingan sikap dan komitmen pencari kerja. Melalui pemadanan awal yang dilaksanakan oleh PPB menjelang acara ini, daripada 124 calon yang dijadualkan menghadiri temu duga, hanya 37 orang hadir. 

“Saya juga mengingatkan bahawa peluang yang dibuka hanya akan menghasilkan penempatan jika disambut dengan komitmen untuk mencuba dan membuktikan kemampuan. 

“Saya menyeru kepada para pencari kerja agar merebut peluang untuk bermula, belajar dan membuktikan kemampuan masing-masing,” ujar Yang Berhormat lagi.