Terus dalami penghayatan Al-Quran dalam kehidupan

4 Okt 2026 - 6:51am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BERAKAS, Sabtu, 3 Oktober. – Seramai lapan peserta memperdengarkan bacaan masing-masing pada Musabaqah Tilawah Al-Quran Penghulu Mukim dan Ketua Kampung (PMKK) Senegara Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi sempena Maulidur Rasul, yang berlangsung di Dewan Tripartite, Ibu Pejabat Jabatan Buruh, di sini.

Pertandingan anjuran PMKK Daerah Brunei dan Muara (DBM) dengan sokongan Institusi Mukim dan Kampung berkenaan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori Penghulu Mukim dan Kategori Ketua Kampung, yang disertai oleh wakil daripada keempat-empat buah daerah.

Johan bagi Kategori Penghulu Mukim disandang oleh Penghulu Mukim Kiudang, Daerah Tutong, Awang Haji Hirulizam @ Haji Khairulizam bin Haji Jefrey; manakala naib johan pula dimenangi oleh Penghulu Mukim Berakas 'B', Zon 2, DBM, Awang Haji Syed Mohd. Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah; sementara tempat ketiga diraih oleh Penghulu Mukim Kuala Belait, Awang Haji Abdul Afiq bin Zainuddin.

Bagi Kategori Ketua Kampung pula, Ketua Kampung Kiarong, Zon 2, DBM, Awang Mohammad Shair bin Haji Samsudin menyandang sebagai johan; manakala Ketua Kampung Labi II, Awang Muhammad Nurazri bin Haji Abdul Mustafah pula berada di naib johan; sementara tempat ketiga diraih oleh Ketua Kampung Bokok, Daerah Temburong, Awang Abdul Mu’iz bin Haji Kadir.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

Terdahulu, Ketua Kampung Kawasan 3, Rancangan Perumahan Negara Panchor, Mengkubau, Awang Mohammad Hilmy bin Haji Ahmad, dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa musabaqah berkenaan merupakan salah satu inisiatif penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dalam menyemarakkan Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam, khususnya memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Menurutnya lagi, penganjuran musabaqah berkenaan diharap dapat menjadi pemangkin dan suntikan semangat kepada semua pihak untuk terus memperluas dan menyemarakkan syiar Islam, bukan sahaja dalam kalangan keluarga dan masyarakat, malah turut merangkumi kepimpinan serta jentera pentadbiran negara.

Selain itu tambahnya, usaha berkenaan juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim, memupuk kecintaan terhadap Al-Quran, menggalakkan amalan-amalan yang mulia serta menyokong aspirasi Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

Awang Mohammad Hilmy turut menyeru para hadirin untuk sama-sama memperingati jasa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta menghayati dan meneladani sirah, akhlak dan ciri-ciri kepimpinan Baginda yang sentiasa diredai Allah Subhanahu Wata'ala.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa jemaah hakim yang dilantik bagi menghakimi musabaqah berkenaan mempunyai kemahiran dan pengalaman dalam bidang Al-Quran. Standard prosedur penilaian dan penghakiman markah musabaqah juga adalah sama seperti yang dilaksanakan pada peringkat belia dan kebangsaan.

Melalui pertandingan berkenaan jelasnya lagi, para peserta bukan sahaja berpeluang memperdengarkan bacaan Al-Quran, malah turut digalakkan untuk terus berusaha mempelajari dan memperindah bacaan serta memperdalami penghayatan dan pengamalan nilai-nilai suci Al-Quran dalam kehidupan seharian.