Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
TUNGKU LINK, Isnin, 24 Ogos. – Sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi tempatan, Universiti Teknologi Brunei (UTB) juga terus berdiri teguh memupuk komitmen berterusan dalam menyediakan program-program yang berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa bagi mendukung usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.
Hal ini jelas terbukti pada kehebatan pencapaian para mahasiswa dan mahasiswi yang bakal menamatkan pengajian mereka di universiti berkenaan pada tahun ini semasa mengetengahkan enam buah projek di ruang Pameran : Meraikan 40 Tahun Keupayaan dan Inovasi (Celebrating 40 Years of Talents and Innovations) semasa berlangsungnya Pesta Konvo UTB Ke-11, 2026 bertempat di Dewan Serbaguna, UTB, pagi tadi.
Masing-masing memiliki kewibawaan dalam menerokai bidang penyelidikan baharu yang selari dengan keperluan negara dan bakal menyumbang serta memberikan nilai tambah dan berimpak tinggi kepada masyarakat sejagat.
Sehubungan itu, salah seorang peserta pameran yang berkesempatan ditemu bual Pelita Brunei pagi tadi, Dayang Nur Yasmeen Syukrina binti Mohammed Yussof yang mengetengahkan sebuah projek penyelidikan bertajuk ‘Valorisasi Amaranthus viridis Sebagai Bahan Makanan Pelbagai Fungsi: Pengoptimuman Pengasingan Protein, Kefungsian dan Penilaian Hidrolisat Bioaktifnya’ (Valorisation of Amaranthus viridis As a Multi-Functional Food Ingredient: Optimisation of Protein Isolation, Functionality, and Evaluation of Its Bioactive Hydrolysates).
Dayang Nur Yasmeen Syukrina yang bakal menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains (Secara Penyelidikan) dalam Sains dan Teknologi Makanan di bawah Sekolah Sains Gunaan dan Matematik, UTB menjelaskan lanjut bahawa projek penyelidikan yang dihasilkan itu menumpukan kepada penerokaan potensi sayur-sayuran berdaun sebagai sumber protein berasaskan tumbuhan, dengan tumpuan khusus terhadap daun Amaranthus viridis atau lebih dikenali dengan nama tempatan sebagai bayam putih.
“Protein daripada Amaranthus viridis diekstrak menggunakan dua kaedah berbeza iaitu ‘salt extraction-micellisation’ dan ‘alkaline extraction-isoelectric precipitation’. Isolat protein ini kemudiannya dinilai dari segi sifat tekno-fungsi seperti keterlarutan (‘solubility’), pengemulsian (‘emulsification’), pembentukan buih (‘foaming’), pengekalan air dan minyak (‘water and oil retention’) dan pembentukan gel (‘gelation’) di bawah pelbagai keadaan pH dan kekuatan ion,” hurainya.
Dayang Nur Yasmeen Syukrina seterusnya menjelaskan isolat-isolat ini dihidrolisis secara enzimatik menggunakan enzim bromelain, papain, dan alcalase serta bioaktivitinya dianalisis dari segi kapasiti antioksidan, kandungan fitokimia, dan aktiviti antimikrob. Teknik analisis terkini seperti spektroskopi ‘Fourier Transform Infrared’ (FTIR) digunakan untuk mengesahkan perubahan struktur dalam hidrolisat protein, dengan mengaitkan konformasi protein kepada kestabilan dan bioaktiviti.
“Adapun objektifnya adalah untuk menunjukkan fungsi dwi-peranan protein Amaranthus viridis iaitu sebagai bahan dalam sistem makanan dan sebagai hidrolisat bioaktif yang berpotensi sebagai nutraseutikal, sekali gus meletakkannya sebagai alternatif yang menjanjikan bagi makanan berfungsi dan inovasi mampan,” tambahnya lagi.
Dalam berkongsi bagaimana tercetusnya idea menghasilkan projek kajian, Dayang Nur Yasmeen Syukrina berkata idea ini tercetus daripada situasi permintaan global terhadap bahan makanan yang mampan dan mengutamakan kesihatan.
Protein berasaskan tumbuhan mengurangkan pergantungan kepada protein haiwan, sekali gus menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menggalakkan penggunaan yang bertanggungjawab.
“Walaupun protein daripada whey, soya, atau kacang pea telah dikaji secara meluas dan dikomersialkan, potensi sayur-sayuran berdaun masih kurang diterokai. Jurang pengetahuan ini mendorong saya untuk mengkaji Amaranthus viridis, sejenis sayuran tempatan, sebagai sumber protein baharu. Projek ini didorong oleh potensi untuk mempelbagaikan pilihan protein berasaskan tumbuhan serta memberi nilai tambah kepada tanaman yang kurang dimanfaatkan untuk inovasi makanan.
“Penyelidikan ini selaras dengan Wawasan Brunei 2035 yang menekankan aspek inovasi, kemampanan dan kepelbagaian ekonomi. Melalui penerokaan tanaman tempatan, projek ini menyumbang kepada keselamatan makanan dan mengurangkan pergantungan terhadap import,” jelasnya.
Sementara itu, sebuah projek penyelidikan berjudul Tambhumi yang diterajui oleh empat ahli terdiri daripada Dayang Nur Sabrinatasya binti Juraimi, Pinkka Tiara Maharani, Dayang Nurul Nazirah binti Rasiman dan Awang Mohammad Fashli bin Idris turut berkesempatan ditemu bual Pelita Brunei.
Mereka yang merupakan bakal graduan dalam Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) dalam Ekonomi Gunaan dan Kewangan di bawah Sekolah Perniagaan UTB antaranya mengongsikan nama ‘Tambhumi’ terhasil daripada gabungan dua perkataan, iaitu ‘Tambak’ atau ‘Menambak’ yang bermaksud membina atau proses pembinaan dan ‘Bumi’. Secara keseluruhannya, ia membawa maksud membina bumi (‘to build earth’) dan merupakan istilah yang digunakan secara meluas di rantau Asia Tenggara.
“Melalui projek Tambhumi ini, kami menghasilkan wangian yang menitikberatkan aspek iklim. Kami merangka aroma yang sesuai dengan iklim tropika dan lembap di rantau kita. Setiap aroma mempunyai konsep yang unik, dan koleksi sulung kami menampilkan tiga jenis wangian iaitu Huma, Yu dan Wening yang mendapat inspirasi daripada tapai (sejenis makanan), warisan budaya Melayu-Cina serta kayu gaharu yang merupakan salah satu spesies pokok yang bernilai di Negara Brunei Darussalam (NBD),” kongsi mereka.
Dalam pada itu, Dayang Nur Sabrinatasya turut menambah semasa memulakan projek penyelidikan berkenaan, mereka berhasrat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa projek keusahawanan mahasiswa dan mahasiswi sememangnya boleh menjadi satu usaha yang kreatif di samping menyelesaikan cabaran perniagaan yang sedia ada.
Kongsinya lagi, sebagai golongan muda, mereka juga mahu suara dan idea anak-anak muda didengar serta diberi peluang. Oleh itu, mereka juga menaruh harapan agar Tambhumi akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk berani melangkah dan menceburi bidang keusahawanan terutamanya apabila terdapat peluang untuk mengharumkan nama NBD di pasaran global.
“Sebagai satu kumpulan, kami tidak mahu Tambhumi sentiasa kekal pada tahap yang ada sekarang namun kami yakin produk wangian yang dihasilkan ini mempunyai potensi besar, bukan sahaja di pasaran tempatan malah di peringkat global.
“Keyakinan ini diperkukuh semasa pengalaman menyertai Pameran UTB pada sebelumnya, di mana kami menerima sokongan dan galakan berterusan daripada orang ramai serta pelbagai institusi untuk mula memasarkan produk wangian kami. Sehubungan dengan itu, kami sedang mengambil langkah-langkah yang terancang untuk mengkomersialkan Tambhumi dan mengalu-alukan penyertaan individu serta institusi yang berminat dengan visi kami,” ujar beliau.
Turut berkesempatan ditemu bual ialah Dayang Annie Dhameerah binti Haji Anuar yang menampilkan sebuah projek penyelidikan tahun akhir bertajuk ‘Healthy Worlds: A 3D Exergame for Promoting Physical Activity in Children for the Health Promotion Centre (HPC)’ yang mana ia merupakan permainan 3D interaktif yang direka untuk menggalakkan kanak-kanak menjadi aktif secara fizikal sambil mempelajari tentang kesihatan. Objektif utamanya adalah untuk memupuk aktiviti fizikal melalui permainan yang menarik, di samping memperkenalkan topik asas kesihatan dan keselamatan kepada kanak-kanak.
“Permainan ini menggunakan kamera pengesan pergerakan 3D untuk menjejak pergerakan rangka pemain, membolehkan mereka berinteraksi dengan permainan melalui tindakan seperti menghulurkan tangan, melambai, dan melompat dan bukannya menggunakan alat kawalan tradisional. Projek ini melibatkan penggunaan aset 3D, animasi, pengaturcaraan dan sistem permainan interaktif.
“Saya terlibat dalam perancangan, pembangunan, dan pengujian permainan ini serta bekerjasama dengan Pusat Promosi Kesihatan (Health Promotion Centre – HPC) Kementerian Kesihatan dan pakar-pakar bidang untuk memastikan kandungannya sesuai untuk kanak-kanak dan selaras dengan keperluan pendidikan yang ditetapkan. Permainan ini kini mempunyai dua tahap yang merangkumi topik pendidikan kesihatan yang berbeza iaitu Keselamatan Makanan merangkumi kepentingan membasuh tangan dan juga Perangkap Tembakau meliputi bahaya perokok pasif,” hurai beliau yang merupakan bakal graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Media Digital Pengkhususan dalam Pembangunan Permainan (Game Development) di bawah Sekolah Pengkomputeran dan Informatik.
Selaras dengan tema Pesta Konvo UTB Ke-11, 2026 iaitu Meraikan 40 Tahun Keupayaan dan Inovasi (Celebrating 40 Years of Talents and Innovations), Dayang Annie Dhameerah turut berpandangan bahawa beliau melihat projek ‘Healthy Worlds’ sebagai satu contoh bagaimana kemahiran dan kreativiti kita boleh diaplikasikan untuk menangani isu-isu sebenar dalam masyarakat.
Tambah beliau, berbekalkan latar belakang dalam pembangunan permainan, dirinya dapat menggabungkan reka bentuk kreatif dengan teknologi bagi menghasilkan cara interaktif untuk menggalakkan kanak-kanak kekal aktif secara fizikal sambil mempelajari tentang kesihatan.
Manfaat utama yang beliau lihat ialah usaha menjadikan aktiviti fizikal dan pendidikan kesihatan lebih menarik bagi kanak-kanak. Daripada sekadar memberitahu kanak-kanak tentang kepentingan untuk aktif atau mengamalkan gaya hidup sihat, permainan ini membolehkan mereka belajar melalui pergerakan dan aktiviti bermain.
“Bagi NBD, saya percaya projek seperti ‘Healthy Worlds’ turut menunjukkan bagaimana bakat tempatan mampu menyumbang dalam bidang di luar bidang kepakaran utama mereka. Dalam projek penyelidikan saya ini, pembangunan permainan bukan sahaja boleh diaplikasikan untuk tujuan hiburan, malah juga untuk pendidikan kesihatan dan kesedaran awam.
“Saya berharap usaha ini dapat menggalakkan lebih ramai golongan muda untuk meneliti bakat masing-masing serta meneroka cara memanfaatkannya secara inovatif demi menyumbang kepada masyarakat dan negara,” luah Dayang Annie Dhameerah penuh harapan.