SKBD Ke-V : MS SSBD ungguli acara akuatik

9 Nov 2026 - 7:51am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

BERAKAS, Ahad, 8 November. - Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Ke-V, Tahun 2026 bagi acara akuatik hari ini menutup tirainya dengan majlis penyampaian pingat yang mengambil tempat di Kolam Renang Kebangsaan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), Berakas, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya berkesudian menyempurnakan penyampaian majlis kepada para pemenang ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Eddy Fadzlin bin Haji Amdan.

Pada hari terakhir acara sukan akuatik berkenaan dipertandingkan menyaksikan sebanyak lapan kategori acara dipertandingkan bagi menambah lagi kutipan pingat bagi setiap kontinjen yang mengambil bahagian.

Tujuh kutipan pingat emas daripada lapan acara yang dipertandingkan pada hari ini diraih oleh Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam iaitu bagi acara 50 Meter Gaya Bebas Lelaki, 50 Meter Gaya Bebas Wanita, 200 Meter Acara Kuak Kupu-Kupu Lelaki, 50 Meter Kuak Lentang Lelaki, 50 Meter Kuak Lentang Wanita, Acara Berganti-ganti Gaya Bebas 200 Meter Lelaki dan bagi Acara Berganti-ganti Gaya Bebas 200 Meter Wanita.

Sementara pingat emas bagi 200 Meter Acara Kuak Kupu-Kupu Wanita pula dimenangi oleh kontinjen Daerah Belait.

SKBD yang mula diadakan pada tahun 2012 merupakan kejohanan peringkat kebangsaan yang menjadi wadah menghimpunkan atlet dari seluruh negara untuk bersaing dalam pelbagai acara sukan.

Kejohanan berkenaan juga berperanan sebagai platform untuk mengenal pasti bakat atlet yang berpotensi, khususnya dalam kalangan belia, sebagai persediaan mewakili negara ke kejohanan sukan berprestij di peringkat serantau dan antarabangsa.