Sesi dialog kongsi perkembangan, dasar ekonomi semasa negara

4 Okt 2026 - 6:55am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohammad Hasif Matzin

RIMBA, Sabtu, 3 Oktober. - Institut Perkhidmatan Awam (IPA), Jabatan Perdana Menteri, hari ini mengadakan Sesi Dialog Eksekutif bagi peserta Program Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) 2026.

Sesi tersebut disampaikan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Seramai 69 peserta menghadiri sesi berkenaan, terdiri daripada 25 peserta Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO-33), 23 peserta Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO-37) dan 21 peserta Program Eksekutif Muda (YEP-11).

Sesi tersebut memberikan peluang kepada para peserta untuk mendapatkan perspektif secara langsung daripada kepimpinan kanan mengenai perkembangan ekonomi semasa, keutamaan dasar ekonomi negara serta usaha-usaha yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memperkukuh pertumbuhan dan daya saing ekonomi Negara Brunei Darussalam (NBD).

Dalam perkongsian Yang Berhormat, antara perkara yang disentuh termasuk peranan sektor perdagangan dan perindustrian dalam memacu pertumbuhan ekonomi, kepentingan meningkatkan daya saing negara serta usaha memperkukuh ekosistem perniagaan dan pelaburan.

Perbincangan turut menekankan kepentingan memperkasakan perusahaan tempatan dan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif bagi pertumbuhan sektor swasta serta peluang-peluang baharu dalam pembangunan ekonomi negara.

Sesi dialog yang bersifat interaktif itu turut memberi ruang kepada para peserta untuk mengemukakan soalan dan bertukar pandangan mengenai cabaran serta peluang yang dihadapi NBD dalam landskap ekonomi yang semakin dinamik.

Perkongsian tersebut diharap dapat memperluas kefahaman para peserta mengenai hubungan antara dasar, pembangunan ekonomi dan penyampaian perkhidmatan awam.

Melalui sesi berkenaan, para peserta CSLP sebagai bakal pemimpin dalam perkhidmatan awam berpeluang menghubungkaitkan perspektif kepimpinan dan pengurusan yang dipelajari sepanjang program dengan keutamaan pembangunan negara.

Sesi ini juga diharap dapat menyemai pemikiran yang lebih strategik, berpandangan jauh dan responsif dalam kalangan pemimpin perkhidmatan awam bagi menyokong aspirasi negara serta memenuhi keperluan rakyat dan masyarakat yang sentiasa berkembang.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Ekonomi dan Perdagangan) Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), Setiausaha Tetap (Industri) KEPI, Timbalan Setiausaha Tetap Urus Tadbir Perkhidmatan Awam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri dan KEPI.