SCMP 2026 perkukuh kemahiran pengurusan konflik

6 Okt 2026 - 6:55am

Siaran Akhbar dan Foto : Brunei Darussalam Arbitration Centre

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 Oktober. - Brunei Darussalam Arbitration Centre (BDAC) mengadakan program latihan Strategic Conflict Management for Professionals (SCMP) untuk kali kelima, sejajar dengan komitmen berterusan BDAC dalam memperkukuh keupayaan pakar dalam bidang pengurusan konflik, pengantara dan rundingan di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pembukaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang), Jabatan Perdana Menteri, Dayang Hajah Aldila binti Haji Mohamad Salleh.

Turut hadir, Awang Haji Ahmad Basuni bin Haji Abbas, wakil kepada Pengerusi BDAC, Ahli-ahli Lembaga Pengarah BDAC, para jurulatih dari Singapore Mediation Centre (SMC), serta para peserta dari sektor awam dan swasta.

Majlis yang berlangsung di Dewan At-Taqwa, Tingkat 12, Jabatan Perkhidmatan Awam itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Awang Haji Ahmad Basuni bagi pihak Pengerusi BDAC.

Dalam ucapan alu-aluannya, beliau menekankan kepentingan membangunkan keupayaan praktikal dalam pengurusan konflik dalam kalangan golongan profesional.

Beliau menjelaskan bahawa program SCMP memberikan peserta pengetahuan dan kemahiran untuk mengenal pasti konflik pada peringkat awal, berkomunikasi secara berkesan, memahami perspektif yang berbeza serta mengurus perselisihan secara konstruktif.

Awang Haji Ahmad Basuni turut menegaskan komitmen berterusan BDAC dalam mempromosikan pengantaraan dan bentuk-bentuk Penyelesaian Pertikaian Alternatif (Alternative Dispute Resolution - ADR) sebagai kaedah yang praktikal dan konstruktif dalam menyelesaikan pertikaian.

Dalam menyampaikan ucapan utama, Dayang Hajah Aldila menekankan bahawa program pada tahun ini adalah bertepatan, susulan pelancaran Garis Panduan Menangani Gangguan di Tempat Kerja dalam Perkhidmatan Awam NBD pada bulan November 2025.

Garis panduan tersebut menyediakan rangka kerja yang menyeluruh dalam menangani gangguan di tempat kerja, termasuk prosedur bagi membuat aduan serta mekanisme bagi menyelesaikan pertikaian.

Dayang Hajah Aldila turut menekankan peranan penting pengantaraan dalam konteks ini, khususnya dalam memudah cara komunikasi antara pihak-pihak yang terlibat, memberikan peluang kepada setiap pihak untuk memahami perspektif yang berbeza dan, jika bersesuaian, bekerjasama ke arah mencapai penyelesaian yang dipersetujui bersama.

Beliau turut menegaskan bahawa pengurusan konflik secara strategik bukan hanya berkaitan dengan menyelesaikan pertikaian setelah ia berlaku, tetapi juga melibatkan usaha mengenal pasti konflik pada peringkat awal, menangani kebimbangan secara konstruktif dan mencegah perselisihan daripada berkembang menjadi pertikaian yang lebih serius yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan maruah individu di tempat kerja.

Sehubungan itu, program SCMP melengkapi usaha yang lebih luas dalam memperkukuh akses kepada keadilan. Pengantaraan menyediakan proses yang fleksibel dan berasaskan persetujuan bersama yang melengkapi sistem keadilan formal, di samping membolehkan pihak-pihak yang terlibat meneroka penyelesaian yang praktikal sambil memelihara hubungan yang penting.

Tahun 2026 turut menandakan satu pencapaian penting bagi BDAC apabila pusat ini meraikan ulang tahun ke-10 penubuhannya.

Sepanjang sedekad yang lalu, BDAC telah menyumbang kepada usaha mempromosikan dan membangunkan Penyelesaian Pertikaian Alternatif di NBD, di samping menyokong pembangunan keupayaan profesional dalam bidang pengantara dan timbang tara.

Selaras dengan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial korporat, BDAC juga akan meneruskan Pro Bono Mediation Initiative pada tahun ini. Melalui inisiatif tersebut, para pengantara yang diperakui SMC-BDAC secara sukarela menyumbangkan khidmat profesional mereka bagi membantu orang awam mendapatkan akses kepada pengantara.

Inisiatif ini menggalakkan orang awam untuk mempertimbangkan pengantaraan pada peringkat awal, ketika perbezaan masih dapat ditangani secara konstruktif melalui dialog.

Program SCMP 2026 yang berlangsung selama lima hari ini menghimpunkan para profesional daripada sektor kerajaan dan swasta bagi membangunkan kemahiran praktikal dalam pengurusan konflik secara strategik, komunikasi, rundingan dan pengantara.

Program ini merangkumi topik seperti dinamika konflik, pertikaian di tempat kerja, komunikasi kepemimpinan, hubungan dengan pihak berkepentingan, teknik pengantaraan dan perundingan, serta latihan simulasi secara praktikal.

Program ini dikendalikan oleh para jurulatih daripada SMC, meneruskan kerjasama yang telah lama terjalin antara SMC dan BDAC dalam memperkukuh pembangunan profesional dalam bidang pengantara dan pengurusan konflik.

Pengurusan konflik secara strategik bukanlah bertujuan untuk menghapuskan perselisihan, kerana perbezaan pendapat merupakan suatu perkara yang semula jadi dalam kehidupan profesional.

Sebaliknya, ia adalah mengenai keupayaan untuk mengenal pasti konflik pada peringkat awal, berkomunikasi secara berkesan, memahami kepentingan dan perspektif pihak-pihak yang terlibat, serta mengenal pasti pendekatan yang paling sesuai ke arah penyelesaian.

Melalui program SCMP dan inisiatif pembangunan profesional yang lebih luas, BDAC terus memperkukuh komitmennya untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan cekap dalam mempromosikan timbang tara dan pengantara sebagai kaedah pilihan dalam penyelesaian pertikaian.

Program ini juga menyokong aspirasi negara yang lebih luas di bawah Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam membangunkan institusi yang berkeupayaan, memperkasa kecemerlangan modal insan serta memupuk masyarakat yang berlandaskan tadbir urus yang baik, kestabilan dan keadilan.