Siaran Akhbar dan Foto : SMARTER Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 8 November. - Lebih 1,200 pelari, ahli keluarga dan penyokong pagi tadi telah menyertai Run 4 Autism pada bertempat di BIBD Connects, Bandar Seri Begawan, di sini.
Larian ini diadakan sempena Ulang Tahun Ke-25 SMARTER Brunei dan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai autisme serta memupuk keterangkuman di Negara Brunei Darussalam.
Hadir dan seterusnya merasmikan majlis berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif, dan Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid, selaku tetamu-tetamu kehormat majlis.
Pada larian berkenaan, tempat pertama bagi kategori 10km Lelaki ialah Awang Muhammad Zaim bin Haji Matussin, manakala kategori 10km Perempuan pula dimenangi oleh Linda Chin.
Sementara bagi kategori 5km Lelaki pula, Awang Muhd. Arif bin Zulkifli muncul di tempat pertama, dan Dk. Yasrinnur Hayatul Aqmar pula juara bagi kategori 5km Perempuan.
Selama 25 tahun, SMARTER Brunei telah giat menyokong individu autisme melalui pendidikan, program intervensi dan perkhidmatan sokongan untuk individu dan keluarga mereka. Organisasi ini juga memainkan peranan penting dalam memperjuangkan keterangkuman dan mengukuhkan kefahaman orang ramai tentang autisme di Negara Brunei Darussalam.
Dana yang dikumpulkan melalui pendaftaran dan sumbangan orang ramai akan menyokong program intervensi, inisiatif latihan dan jangkauan komuniti SMARTER Brunei bagi individu autisme dan keluarga mereka.
Acara ini dapat diadakan dengan sokongan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Majlis Perundingan Mukim ‘B’, Majlis Belia Brunei, Green Brunei dan Pusat Promosi Kesihatan.