Berita dan Foto : Ihsan Sheikh Abdullah Yahya
TEMBURONG, Selasa, 25 Ogos. - Bersempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam pada 12 Rabiulawal Tahun 1448 Hijrah, Rombongan Dikir Alumni Sekolah Menengah Inggeris Pengambilan Pertama Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA) Aliran Inggeris 1975-1978 bersama Ahli-ahli Penduduk Asal Kampung Labu Estate, Temburong, tidak ketinggalan menyertai Majlis Dikir ke masjid-masjid sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Majlis Dikir ke masjid-masjid berkenaan merupakan aktiviti tahunan dan tahun ini merupakan kali ketujuh dianjurkan sejak Alumni SMJA 75/78 ditubuhkan pada tahun 2016. Bagi tahun ini, buat kali kedua, rombongan Alumni SMJA 75/78 memilih Daerah Temburong sebagai destinasi, iaitu ke Masjid Kampung Labu Estate, Temburong.
Rombongan Dikir Alumni SMJA 75/78 menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah bersama jemaah masjid sebagai pembukaan majlis, yang kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Pemangku Imam Masjid Kampung Labu Estate, Awang Husnul Bazli bin Rosli.
Majlis Dikir Syarafil Anam dimulakan dengan Dikir Assalamualaika dan Bisyahrin Rabieen oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Labu Estate, Temburong, dan diserikan dengan Dikir Badat Kopi daripada Rombongan Dikir Alumni SMJA 75/78 di bawah bimbingan Awang Haji Shaifulbahri bin Haji Ahmad.
Majlis turut diteruskan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, diikuti dengan Dikir Asrakal dan Doa Dikir. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Selamatkan Negara Brunei Darussalam bagi memohon keberkatan majlis.
Acara kemudiannya diteruskan dengan sesi bergambar ramai bersama jemaah dan Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Labu Estate, Temburong, sebelum menikmati jamuan yang disediakan.