Raptai penuh pastikan kelancaran majlis

16 Og 2026 - 7:30am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman

Foto : Mohammad Hasif Matzin

 

BERAKAS, Sabtu, 15 Ogos. - Persiapan menjelang Majlis Hafl Al-Takharruj Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Ke-16 kini memasuki peringkat akhir apabila raptai penuh bagi majlis berkenaan diadakan hari ini di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Raptai tersebut diadakan sebagai persediaan bagi memastikan perjalanan majlis yang dijadualkan berlangsung pada 17 Ogos ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

Hadir menyaksikan raptai penuh tersebut ialah Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal. Turut hadir, Rektor UNISSA, Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.

Majlis Hafl Al-Takharruj Ke-16 tahun ini bakal menyaksikan seramai 443 graduan akan menerima ijazah dan sijil masing-masing terdiri daripada penerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Diploma Siswazah, Diploma Lepas Ijazah, Program Diploma Tertinggi Kebssangsaan dan Diploma Kebangsaan. Turut diraikan ialah tiga bakal graduan yang akan menerima Ijazah Khas Hafazan 30 Juzuk.

Pihak UNISSA berharap para graduan dapat bekerjasama dalam memartabatkan pendidikan Islam dan menjadikan UNISSA sebagai institusi yang unggul dalam menghasilkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga dari segi sahsiah dan nilai-nilai Islam.

Seterusnya, para graduan bakal mencerminkan misi UNISSA dalam melahirkan pemimpin akademik yang cemerlang, bertanggungjawab sosial dan berorientasikan komuniti demi memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.

Para graduan yang rasmi bergelar alumni boleh berhubung dengan Pejabat Hal Ehwal Alumni, UNISSA dan Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri UNISSA bagi mendapatkan bantuan meningkatkan kapasiti diri kerana pelbagai Program Pembangunan Kerjaya yang telah dan akan disusun dan kebanyakannya diberikan secara percuma untuk alumni UNISSA.