Projek Rintis PKBN perkasa pembangunan belia

25 Og 2026 - 9:03am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

TEMBURONG, Isnin, 24 Ogos. - Projek Rintis Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) selama enam bulan merupakan satu langkah penting dalam usaha memperkasa pembangunan belia di Negara Brunei Darussalam.

Pelaksanaan projek berkenaan berlandaskan limpah kurnia dan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang mencerminkan keprihatinan berterusan baginda terhadap pembangunan generasi muda yang berdisiplin, berjati diri dan berdaya tahan, selain bersedia memikul tanggungjawab serta memberikan sumbangan bermakna kepada agama, masyarakat dan negara.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menyatakan perkara tersebut ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Projek Rintis PKBN selama enam bulan di Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, di sini.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, projek berkenaan membawa pendekatan yang lebih menyeluruh bagi memastikan pengisian program terus relevan dengan keperluan dan cabaran semasa.

“Ke arah itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik telah berganding bahu merangka pengisian yang lebih menyeluruh bagi melengkapi para belia menghadapi perubahan pesat teknologi, cabaran ekonomi dan dinamika sosial yang semakin ‘sophisticated’.

“Usaha ini bukan sahaja bertujuan untuk membina disiplin dan ketahanan fizikal, tetapi juga untuk membentuk minda, sahsiah dan jati diri belia.

“Impian kita adalah untuk melahirkan generasi yang mempunyai keyakinan diri, semangat patriotisme dan rasa tanggungjawab yang tinggi, serta bersedia menghadapi hari ini dan masa hadapan dengan ilmu, kemahiran dan nilai-nilai yang kukuh,” jelas Yang Berhormat.

Yang Berhormat turut mengalu-alukan pengenalan dua komponen baharu dalam projek berkenaan, iaitu Komponen Siap Siaga Masa Depan dan Komponen Program Pertahanan Awam.

Jelas Yang Berhormat, kedua-dua komponen tersebut memperluaskan dimensi latihan PKBN dengan memberikan perhatian bukan sahaja kepada pembentukan peribadi dan disiplin, tetapi juga kepada kesiapsiagaan para pelatih dalam mendepani cabaran kehidupan dan hari muka.

“Saya difahamkan bahawa melalui Komponen Siap Siaga Masa Depan, para pelatih akan didedahkan kepada ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dapat meningkatkan kebolehpasaran, daya saing dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dunia pekerjaan.

“Saya berharap komponen ini juga akan menyemai kewibawaan dan keyakinan untuk meneroka bidang keusahawanan serta membuka ruang kepada para pelatih untuk mencipta peluang dan menjana pendapatan secara berdikari,” ujar Yang Berhormat.

Melalui Komponen Program Pertahanan Awam pula, tambah Yang Berhormat, para pelatih akan memperoleh pendedahan dan pengetahuan asas dari agensi-agensi keselamatan yang terlibat.

“Selain meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi kecemasan, saya berharap pengalaman ini akan menyemai semangat khidmat kepada masyarakat dan negara, serta membuka minat dalam kalangan para pelatih untuk mempertimbangkan kerjaya dalam pasukan beruniform pada masa hadapan,” kata Yang Berhormat.

Dalam pada itu, Yang Berhormat menjelaskan bahawa pengalaman, pencapaian dan pembelajaran para pelatih sepanjang tempoh berkenaan akan menjadi sebahagian daripada asas bagi menilai dan memperkukuh pelaksanaan PKBN untuk generasi seterusnya.

“Dengan itu, biskita juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan peluang yang diberikan ini benar-benar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

“Sepanjang tempoh enam bulan ini, pastinya ada cabaran yang perlu dihadapi. Akan ada ketika biskita diuji dari segi fizikal, kekuatan mental dan emosi. Namun, di situlah terletaknya nilai sebenar latihan ini.

“Setiap cabaran yang mendewasakan, setiap disiplin yang dipupuk, dan setiap pengalaman yang dilalui adalah acuan terbaik dalam membina jati diri yang lebih cekal, matang, berdikari serta bertanggungjawab.

“Saya menyeru kepada para pelatih sekalian agar sentiasa fokus, berdisiplin dan memberikan komitmen yang sepenuhnya sepanjang menjalani latihan ini.

“Belajarlah bukan sahaja daripada modul yang disediakan, malah timbalah ilmu daripada para jurulatih, rakan-rakan serta setiap pengalaman berharga sepanjang berada di sini.

“Binalah persahabatan, semangat berpasukan dan rasa hormat antara satu sama lain, kerana nilai-nilai inilah yang akan terus menjadi bekalan dalam kehidupan biskita selepas tamatnya latihan ini,” kata Yang Berhormat.

Yang Berhormat berkata, negara memerlukan generasi belia yang bukan sahaja bercita-cita, tetapi tangkas mengorak langkah; bukan sekadar berilmu, tetapi teguh berintegriti; serta bukan sahaja bersedia menerima peluang, tetapi bijak menciptanya dan memberikan sumbangan.

Yang Berhormat juga menasihati para peserta untuk memanfaatkan peluang tersebut bagi membina potensi terbaik dalam diri, bukan sahaja demi masa depan sendiri, malah agar dapat berbakti semula kepada keluarga, masyarakat dan negara.

“Inilah generasi yang kita perlukan untuk bersama-sama menjayakan Wawasan Brunei 2035, demi kemakmuran dan kesejahteraan negara yang kita cintai,” kata Yang Berhormat.