PPPBD raikan Sambutan Hari Kedamaian

21 Sep 2026 - 8:15am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BERAKAS, Ahad, 20 September. - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Yang Di-Pertua Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) berkenan berangkat menghadiri Sambutan Hari Kedamaian (Peace Day) PPPBD bersempena International Day for Peace.

Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah di ibu pejabat persatuan berkenaan dijunjung oleh Naib-naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Paduka Hajah Zaharah binti Haji Idris dan Datin Hajah Masni binti Haji Mohd. Ali; Naib Yang Di-Pertua PPPBD, Dayang Hajah Viviyanti binti Haji Md. Ali serta Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Norazrina binti Haji Sarbini.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Dayang Hajah Fatimah binti Haji Abd. Ghani, yang kemudian diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Lagu Dunia Pandu Puteri dan Lagu Rantau Asia Pasifik.

Seterusnya sembah alu-aluan disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya PPPBD yang antara lain menyembahkan Sambutan Hari Kedamaian adalah salah satu acara tahunan yang disambut setiap tahun dan tema Hari Kedamaian membawa mesej yang amat bermakna kepada semua Ahli Pandu Puteri iaitu 'Invest in Peace: For Everyone, Everywhere and Every Day'.

Beliau turut menyembahkan keberangkatan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah juga pastinya akan menjadi suatu kenangan yang amat berharga kepada semua ahli dan peserta.

"Hamba Tuanku percaya ia juga akan menjadi pendorong kepada mereka untuk terus aktif membina keyakinan diri dan berkembang sebagai insan yang berdisiplin, berkeyakinan, bertanggungjawab dan bersedia memberikan sumbangan kepada agama, raja, negara dan masyarakat," sembahnya.

Sejurus itu acara diteruskan dengan persembahan daripada lima orang finalis Peace Day Speech Competition 2026 PPPBD Peringkat Akhir dari Kategori Pandu Puteri Tunas dan Kategori Pandu Puteri dan Pandu Puteri Ranjer.

Para finalis telah menyampaikan pidato masing-masing bertajuk 'Invest in Peace: For Everyone, Everywhere and Every Day'.

Peace Day Speech Competition 2026 PPPBD telah mempertandingkan seramai sembilan orang peserta keseluruhannya di peringkat separuh akhir bagi kedua-dua kategori, namun hanya tiga peserta dengan markah tertinggi di setiap kategori terpilih ke peringkat akhir dan memandangkan hanya dua orang peserta sahaja yang mendaftar di Kategori Pandu Puteri Tunas, oleh itu kedua-dua peserta terus layak bertanding di peringkat akhir.

Sambutan Hari Kedamaian turut diselajurkan dengan Majlis Perasmian Baju Sukan Rasmi Persatuan PPPBD yang berkenan disempurnakan oleh YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, dengan menandatangani kanvas baju sukan rasmi persatuan berkenaan.

Pada majlis itu juga, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah berkenan dijunjung bagi menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang dan peserta World Thinking Day Badge Design Competition 2026 PPPBD yang telah diadakan dari 14 Mac 2026 hingga 1 April 2026 yang lalu.

Seramai 61 orang ahli dari peringkat Pandu Puteri Tunas, Pandu Puteri, Pandu Puteri Ranjer dan Pemimpin Muda telah mengikuti pertandingan tersebut, di mana johan disandang oleh Dayang Nurul Matin binti Haji Muhammad Saruddin dari Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, sementara naib johan ialah Dayang Nur Syafiqah Padilla binti Syamsudin dari Sekolah Menengah Sayyidina Hasan dan tempat ketiga jatuh kepada Dayangku Nur' Ain Alisha Zaharah binti Pengiran Haji Mohd. Sofian dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Para pemenang masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai berserta sijil penyertaan dan lencana rekaan johan pertandingan bersempena World Thinking Day 2026 (Hari Peringatan Sedunia 2026) yang membawa tema 'Our Friendship'.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah seterusnya berkenan menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil kepada pemenang-pemenang dan peserta-peserta pertandingan Peace Day Speech Competition 2026 PPPBD, yang mana johan, naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai berserta sijil penyertaan dan lencana.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis dan bagi memohon keberkatan, Doa Selamat dibacakan oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD.