Oleh : Nurdiyanah Rajami
Foto : Ihsan Pusat Pembangunan Belia
TANAH JAMBU, Ahad, 8 November. - Pusat Pembangunan Belia (PPB) melalui Unit Kerohanian dan Keagamaan telah mengadakan Majlis Pertandingan Membaca Al-Quran Secara Murattal Sesi 2026 bertempat di Dewan Binadiri, PPB, kelmarin.
Pertandingan yang bertemakan ‘Bersama Menghayati Keindahan Kalamullah’ itu bertujuan untuk memupuk kecintaan dan minat dalam kalangan para pelatih terhadap pembacaan Al-Quran, di samping meningkatkan mutu bacaan serta penguasaan ilmu tajwid melalui pembacaan secara murattal.
Seramai lapan orang pelatih PPB telah menyertai pertandingan tersebut bagi memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di hadapan jemaah hakim yang telah dilantik.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi sama-sama menyaksikan majlis kerohanian berkenaan yang sekali gus menyempurnakan sesi penyampaian hadiah kepada para peserta pertandingan dan juga penghargaan kepada hakim-hakim pertandingan ialah Penolong Pengarah PPB, Awang Haswandi bin Haji Osman.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Kerohanian dan Keugamaan, Awang Md. Kasyfi Zafran bin Osman, diikuti dengan acara pertandingan.
Acara kemudiannya menyaksikan persembahan tausyeh daripada Kumpulan Syababur Rahmah sebelum keputusan pertandingan diumumkan oleh wakil jemaah hakim.
Keputusan pertandingan telah menyaksikan Awang Md. Hafiz Hisyamuddin bin Abdullah muncul sebagai johan, diikuti oleh Awang Mohd. Hadi Asyraf bin Haji Khairul selaku naib johan, manakala Awang Muhammad Kasyfi Zafran bin Osman menduduki di tempat ketiga.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang dan cenderahati kepada jemaah hakim sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan pertandingan berkenaan, diakhiri dengan sesi bergambar ramai dan bacaan Doa Selamat.
Adapun penganjuran pertandingan ini diharap akan dapat menjadi wadah dalam menyemai budaya membaca dan menghayati Al-Quran dalam kalangan para pelatih, sekali gus melahirkan generasi belia yang menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian.