Platform strategik teroka dimensi baharu transformasi kehakiman Syariah

7 Okt 2026 - 7:56am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

GADONG, Selasa, 6 Oktober. - Negara Brunei Darussalam terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara peneraju wacana kehakiman dan perundangan syariah di rantau Nusantara menerusi penganjuran Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Kali Ke-4, Tahun 2026, yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini hingga 8 Oktober di The Rizqun International Hotel, di sini.

Mengangkat tema 'Kehakiman Syariah Di Dalam Kecerdasan Buatan (AI); Cabaran, Etika dan Hala Tuju Kehakiman Syariah', persidangan berkenaan menjadi platform strategik bagi meneroka dimensi baharu transformasi sistem kehakiman syariah dalam mendepani perkembangan teknologi global yang semakin dipacu oleh AI, automasi pintar, analitik data raya (big data analytics), tadbir urus digital digital (digital governance) serta inovasi teknologi yang bersifat disruptif.

Majlis perasmian persidangan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir, Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib; Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Datuk Mohd. Aini Atan; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke NBD, Tuan Yang Terutama Profesor Dr. Achmad Ubaedillah; dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke NBD, Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat.

Persidangan berkenaan menghimpunkan penyertaan daripada empat negara Nusantara, iaitu NBD selaku tuan rumah, Malaysia, Republik Singapura dan Republik Indonesia.

Persidangan seumpama berkenaan mampu memperkukuh sinergi serantau dalam memperkasa institusi kehakiman syariah yang berdaya tahan, berwibawa serta kekal bersedia dalam mengharungi dan menghadapi sebarang cabaran ekosistem digital abad ke-21.

Seramai 200 peserta menghadiri persidangan berkenaan, terdiri daripada hakim-hakim syarie, pegawai kehakiman, pendakwa syarie, pengamal undang-undang, pegawai penguatkuasa agama, ahli akademik, penyelidik, penggubal dasar serta pemimpin institusi berkaitan dari dalam dan luar negara.

Penyertaan daripada pelbagai latar belakang dan disiplin berkenaan mencerminkan pendekatan kolaboratif dalam memperkukuh ekosistem kehakiman syariah yang progresif dan inklusif.

Sepanjang tiga hari persidangan, para peserta akan meneliti pelbagai isu kritikal yang menjadi agenda utama komuniti kehakiman global, antaranya penggunaan AI sebagai pemudah cara dalam penyelidikan dan pengurusan kes, kerangka etika (AI Ethics), tadbir urus algoritma (Algorithmic Governance), integriti data, keselamatan siber, perlindungan maklumat kehakiman, serta keperluan mewujudkan kerangka regulatori yang mampu mengimbangi inovasi teknologi dengan tuntutan Maqasid Syariah dan prinsip keadilan sejagat.

Persidangan berkenaan juga menjadi wadah untuk memperkasa dialog ilmiah rentas sempadan mengenai pembangunan 'Future-Ready Syariah Judiciary', iaitu institusi kehakiman syariah yang tangkas, adaptif dan berdaya saing dalam menghadapi perkembangan teknologi yang pesat.

Dalam konteks berkenaan, AI dilihat bukan sebagai pengganti kebijaksanaan dan pertimbangan hakim, sebaliknya sebagai pemangkin kepada penyampaian keadilan yang lebih cekap, telus dan berintegriti, selaras dengan nilai-nilai syariah.

Sebagai tuan rumah, NBD komited untuk terus menerajui inisiatif yang memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang kehakiman dan perundangan syariah, di samping menggalakkan perkongsian ilmu, penyelidikan serta pembangunan dasar yang responsif terhadap perubahan teknologi global.

Melalui persidangan berkenaan, ia diharap akan dapat menghasilkan resolusi dan syor strategik yang menjadi rujukan bersama negara-negara Nusantara dalam membentuk hala tuju kehakiman syariah yang lestari, inovatif dan berpandangan jauh, selaras dengan aspirasi transformasi digital serta perkembangan ekosistem perundangan antarabangsa.

Persidangan berkenaan bukan sahaja menjadi medan pertukaran ilmu dan pengalaman, malah mencerminkan komitmen kolektif negara-negara serantau untuk memastikan institusi kehakiman syariah terus kekal relevan, diyakini dan bersedia mendepani era baharu yang dipacu oleh AI, tanpa mengabaikan nilai-nilai keadilan, amanah dan Maqasid Syariah sebagai asas utama sistem perundangan Islam.