Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 Oktober. - Politeknik Brunei (PB) hari ini mengadakan Majlis Perasmian Pesta Konvo 2026 yang berlangsung di Pusat Sehenti (One Stop Centre), Kampus Utama PB, Jalan Ong Sum Ping.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat serta ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah PB, Awang Lim Kian Boon.
Dalam ucapannya, Awang Lim Kian Boon menekankan bahawa PB bukan sekadar tempat pembelajaran, malah merupakan institusi yang melatih dan membimbing individu untuk menjadi profesional yang berkemahiran tinggi, berdaya tahan serta bertanggungjawab terhadap masyarakat dan alam sekitar.
Menurutnya, kerjasama antara industri, masyarakat dan institusi merupakan bukti komitmen bersama terhadap pendidikan, kelestarian dan pembangunan insan dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.
'Think Green, Live Clean' atau 'Fikir Hijau, Hidup Bersih' menjadi tema Pesta Konvo 2026, yang menurut beliau merupakan satu perayaan terhadap pencapaian, kemahiran dan bakat para pelajar, di samping menyokong usaha membina masa depan yang lebih hijau dan lestari.
Beliau turut menjelaskan bahawa Pesta Konvo dianjurkan bagi meraikan kejayaan para pelajar PB, di samping menggalakkan amalan mesra alam, gaya hidup sihat dan penglibatan masyarakat dalam usaha memupuk modal insan yang berkualiti, berkemahiran tinggi serta bertanggungjawab terhadap masyarakat dan alam sekitar.
Bagi mencapai objektif berkenaan, Pesta Konvo 2026 dianjurkan melalui empat kluster utama, iaitu Hidup Hijau dan Keusahawanan (Green Living and Enterprise), Kesihatan dan Kesejahteraan (Health and Well-Being), Akses dan Keterangkuman Digital (Digital Access and Inclusion) serta Kesediaan Kerjaya (Career Readiness).
Awang Lim Kian Boon seterusnya menyatakan bahawa Pesta Konvo tahun ini menjadi platform untuk menghubung kait pembelajaran daripada bilik darjah dengan aplikasi praktikal di kampus.
Melalui modul baharu GS1160 Green and Digital Literacy for Sustainability, para pelajar didedahkan kepada kompetensi digital dan alam sekitar sebelum mengaplikasikannya melalui kempen kitar semula botol plastik PET secara kolaboratif bersama perusahaan tempatan.
Inisiatif tersebut, jelas beliau, menyokong Pelan Pendidikan Hijau (Greening Education Plan) Kementerian Pendidikan serta aspirasi negara ke arah masa depan yang rendah karbon dan berdaya tahan sumber.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan perasmian Pesta Konvo 2026 oleh tetamu kehormat dan diserikan dengan deklamasi sajak khas oleh pelajar PB.
Selesai majlis perasmian, tetamu kehormat bersama para jemputan melawat pameran Projek Tahun Akhir (Final Year Projects, FYP) pelajar PB yang mengetengahkan tujuh projek inovasi, iaitu Self-Checkout Trolley, PlantGuard, ShellCycle, EggXtract, NanoPure, Active Nest Hub dan Eco Rescue Bag.
Lawatan turut merangkumi pameran perusahaan sosial di Pusat Sehenti, diikuti dengan pameran pemeriksaan kesihatan dan simulasi kemahiran oleh pelajar Sekolah Sains Kesihatan di Unit 2.02 dan Studio SICT, Aras 5.
Pesta Konvo 2026 berlangsung dari 5 hingga 8 Oktober 2026, dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang di Kampus Utama PB, Jalan Ong Sum Ping.
Antara pengisian yang disediakan ialah pemeriksaan kesihatan dan simulasi kemahiran oleh Sekolah Sains Kesihatan serta Jualaneka yang diadakan setiap hari. Kempen menderma darah pula akan diadakan pada Selasa, 6 Oktober 2026.
Pesta Konvo 2026 turut menampilkan siri ceramah dan perkongsian bersama rakan industri, termasuk Vil-Laju mengenai perusahaan sosial dan ekonomi kitaran pada 5 Oktober; BruneiID, Institution of Engineering and Technology (IET) Brunei mengenai pengecas kenderaan elektrik serta podcast Young Minds Green Habit pada 6 Oktober; An-Nur Harapan (UNIKLEARN) mengenai program kemahiran hidup dan latihan vokasional bagi dewasa muda dengan gangguan perkembangan saraf serta Penerbangan Diraja Brunei pada 7 Oktober; dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengenai Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) pada 8 Oktober 2026.
Selaras dengan tema Pesta Konvo tahun ini, kempen kitar semula botol plastik PET turut dijalankan selama sebulan sehingga 31 Oktober 2026.
Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei Ke-12 dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober 2026 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC).
Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir ke Pesta Konvo 2026 dan mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sesawang rasmi PB iaitu www.pb.edu.bn serta Instagram @politeknikbrunei.