BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. – Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan ini Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan bagi pelantikan beberapa orang pegawai kanan :
Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani dilantik menjadi Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Seterusnya, Pemangku Timbalan Naib Canselor, Universiti Teknologi Brunei (UTB), Profesor Madya Pengiran Dr. Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra dilantik menjadi Naib Canselor UTB.
Manakala Penolong Rektor (Antarabangsa, Penyelidikan dan Perkhidmatan), UNISSA, Dr. Haji Arman bin Haji Asmad dilantik menjadi Ra’es KUPU SB.
Tarikh pelantikan pegawai-pegawai kanan ini adalah berkuat kuasa mulai Sabtu, 17 Safar 1448 Hijrah bersamaan 1 Ogos 2026 Masihi.