Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
BANGKOK, THAILAND, Sabtu, 31 Oktober. - Menteri Pendidikan, Negara Brunei Darussalam (NBD), Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, selaku Presiden Majlis Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) bagi tahun 2025-2027, telah menamatkan Lawatan Kerja ke Bangkok, Thailand, dari 29 hingga 30 Oktober 2026.
Lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada siri lawatan berterusan Yang Berhormat Menteri Pendidikan, NBD bagi mengukuhkan kerjasama dalam kalangan Negara-negara Anggota SEAMEO, termasuk Lawatan Hormat ke atas Ahli-ahli Majlis SEAMEO serta lawatan ke Sekretariat, Pusat-pusat Serantau dan Rangkaian SEAMEO.
Semasa di Bangkok, Yang Berhormat terlebih dahulu mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pendidikan Thailand, Tuan Yang Terutama Prasert Jantararuangtong, bagi membincangkan kerjasama dua hala serta cara-cara untuk mempereratkan lagi hubungan pendidikan di antara NBD dengan Thailand.
Perbincangan berkenaan merangkumi keutamaan pendidikan Thailand, pendidikan keperluan khas (terutamanya intervensi awal dalam pendidikan awal kanak-kanak), keperluan terhadap guru-guru yang berkelayakan, serta kebergantungan pelajar kepada Kecerdasan Buatan (AI).
Yang Berhormat turut mengadakan pertemuan dengan Pengarah Sekretariat SEAMEO, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim, bersama wakil-wakil Sekretariat dan Pusat-pusat Serantau SEAMEO yang berpangkalan di Bangkok, bertempat di Ibu Pejabat Sekretariat SEAMEO.
Pertemuan berkenaan merupakan peluang untuk bertukar-tukar pandangan mengenai mandat, program dan inisiatif pusat-pusat berkenaan dalam memajukan kerjasama serantau dalam bidang pendidikan, sains dan budaya.
Pusat-pusat yang diwakili ialah SEAMEO RIHED yang memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan tinggi, SEAMEO SEPS yang menggalakkan Falsafah Ekonomi Kecukupan bagi kelestarian, SEAMEO STEM-ED yang memajukan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, SEAMEO SPAFA yang menggalakkan kerjasama dalam bidang arkeologi dan seni halus, dan SEAMEO TROPMED Thailand yang mengkhusus dalam bidang perubatan tropika.
Perbincangan berkenaan turut meliputi kerja-kerja Rangkaian SEAMEO TROPMED dalam bidang perubatan tropika dan kesihatan awam, sekali gus menonjolkan sumbangan pelbagai pusat dan rangkaian khusus SEAMEO ke arah pembangunan kapasiti, perkongsian ilmu pengetahuan dan pembangunan mampan di seluruh Asia Tenggara.
Yang Berhormat turut mengadakan lawatan ke Thungmahamek School for the Deaf bagi mempelajari program serta pendekatan pengajaran dan pembelajarannya untuk pelajar-pelajar pekak dan kurang pendengaran.
Lawatan berkenaan menekankan kepentingan pendidikan yang inklusif dan mudah diakses, satu tema yang selari dengan perbincangan Yang Berhormat sebelum ini bersama Menteri Pendidikan Thailand mengenai pendidikan keperluan khas.
Sepanjang lawatan berkenaan, Yang Berhormat turut diiringi oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, selaku Pengerusi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan SEAMEO (SEAMEO HOM) bagi penggal 2024-2026, bersama pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan, NBD.