Penghargaan buat guru atas dedikasi, jasa bakti

5 Okt 2026 - 6:16am

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

GADONG, Ahad, 4 Oktober. - Guru merupakan insan yang banyak mencurahkan jasa, bakti dan pengorbanan dalam mendidik serta membimbing generasi demi memastikan mereka memiliki ilmu pengetahuan, sahsiah dan nilai-nilai murni yang kukuh.

Pengorbanan serta dedikasi para guru dalam melaksanakan amanah mendidik anak bangsa sewajarnya sentiasa dikenang dan dihargai.

Sehubungan itu, bersempena dengan Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026, Jawatankuasa Pemimpin Sekolah - Sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei IV mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru bagi pegawai-pegawai dan guru-guru sekolah-sekolah ugama Kawasan Brunei IV, bertempat di Greenmont Hotel & Apartment, Kompleks Annajat, Beribi, di sini.

Hadir selaku tetamu khas majlis, Penolong Pengarah (Perkhidmatan Korporat), Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Haslinah Susanti binti Haji Mohd. Hassan.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei IV, Bahagian Sekolah Ugama, JPI, KHEU, Dayang Hajah Mu'izzah binti Kefli.

Acara turut dimeriahkan lagi dengan tayangan video khas sempena Sambutan Hari Guru, persembahan daripada guru-guru perempuan dan guru-guru lelaki, serta penyampaian anugerah sempena Sambutan Hari Guru oleh tetamu khas majlis.

Majlis turut diserikan dengan Pertandingan Kahoot dan cabutan nama bertuah.

Program antara lain diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi dan jasa bakti para guru, di samping meningkatkan semangat serta motivasi dalam kalangan guru untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan memperkukuh hubungan silaturahim sesama warga sekolah.