Penggunaan AI dalam kehakiman Syariah perlu berpandukan garis panduan jelas

7 Okt 2026 - 7:53am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

GADONG, Selasa, 6 Oktober. - Kecerdasan Buatan (AI) menawarkan pelbagai manfaat kepada institusi kehakiman, khususnya dalam pengurusan kes, penyelidikan undang-undang dan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai secara lebih cepat, sekali gus berpotensi meningkatkan akses kepada keadilan.

Di Negara Brunei Darussalam (NBD), Mahkamah Syariah telah pun melangkah ke arah pendigitalan menerusi sistem e-Syariah, manakala teknologi AI berpotensi memperkukuh lagi usaha berkenaan.

Perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Kali Ke-4, Tahun 2026 yang berlangsung di The Rizqun International Hotel, Gadong.

Jelas Yang Berhormat lagi, namun manfaat berkenaan datang bersama cabaran. Pertama, dari segi ketepatan : sistem AI boleh menghasilkan jawapan yang kelihatan meyakinkan tetapi tidak tepat, termasuk merujuk kepada kes atau sumber yang tidak wujud.

Kedua tambah Yang Berhormat, dari segi kerahsiaan : banyak kes di Mahkamah Syariah, khususnya kes kekeluargaan, melibatkan maklumat peribadi yang sensitif dan wajib dipelihara.

"Ketiga, dari segi keterangan : kemunculan kandungan palsu yang dihasilkan oleh AI, atau deepfake, sama ada suara, gambar mahupun video, akan menguji kaedah pembuktian di mahkamah.

"Dari sudut keselamatan pula, kita telah menyaksikan teknologi yang sama disalahgunakan dalam penipuan dalam talian dan jenayah rentas sempadan," kata Yang Berhormat.

Sehubungan itu, Yang Berhormat menegaskan bahawa AI hendaklah dilihat sebagai  alat bantu dan bukannya pengganti kepada pertimbangan manusia. Setiap hasil yang dijana oleh AI, sama ada ringkasan kes, rujukan undang-undang, terjemahan mahupun draf dokumen, perlu disemak, ditapis dan disahkan oleh pegawai yang bertanggungjawab sebelum digunakan, lebih-lebih lagi dalam perkara yang menyentuh hak serta maslahat pihak-pihak yang terlibat.

Tambah Yang Berhormat lagi, tanggungjawab dan akauntabiliti ke atas setiap keputusan tetap terletak pada manusia, bukan pada mesin. Ini menuntut bukan sahaja sikap berhati-hati, tetapi juga pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi dalam kalangan hakim-hakim syarie, pendaftar serta pegawai-pegawai mahkamah bagi mengenal pasti kelemahan dan batasan teknologi berkenaan.

"Oleh itu, penggunaan AI dalam institusi kehakiman syariah memerlukan garis panduan yang jelas bagi memastikan penggunaannya beretika, bertanggungjawab, di bawah pengawasan manusia yang berkesan, dan selaras dengan hukum syarak, serta dengan dasar dan kerangka kerja di peringkat negara dan serantau.

"Di NBD, beberapa langkah telah pun diambil. Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) telah menerbitkan  Panduan Tadbir Urus dan Etika AI bagi NBD  pada tahun 2025, edisi keduanya pada tahun ini turut merangkumi AI generatif.

"Perintah Perlindungan Data Peribadi, 2025  pula memperkukuh perlindungan maklumat peribadi," jelas Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya mengongsikan bagi Mahkamah Sivil, panduan penggunaan AI untuk pegawai kehakiman telah dikeluarkan pada 2025, dan panduan bagi pengguna mahkamah sedang disediakan. Selaras dengan keharmonian di antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil yang menjadi keistimewaan sistem kehakiman negara ini, pengalaman berkenaan wajar dikongsi dan dimanfaatkan bersama.

Daripada aspek perundangan pula, Yang Berhormat menegaskan bahawa kita perlu meneliti sama ada undang-undang prosedur dan keterangan syariah yang sedia ada memadai untuk menangani keterangan digital serta kandungan yang dihasilkan atau dimanipulasi oleh AI.

Usaha berkenaan jelas Yang Berhormat, memerlukan kerjasama erat antara Mahkamah Syariah, Pejabat Peguam Negara, Jabatan Mufti Kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan, selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dan nilai-nilai Melayu Islam Beraja.

"Kaola, saya berharap persidangan ini akan dapat menghasilkan cadangan-cadangan yang praktikal, termasuk ke arah prinsip-prinsip bersama mengenai penggunaan AI secara beretika dalam kehakiman syariah di rantau Nusantara, di samping mengukuhkan kerjasama dalam latihan dan perkongsian kepakaran, termasuk latihan literasi AI bagi para hakim dan pegawai mahkamah.

"Semoga usaha ini akan terus memperkukuh kepercayaan orang ramai terhadap institusi kehakiman syariah, demi merealisasikan cita-cita sebagai sebuah negara Baldatun Thayyibatun, Warabbun Ghafur yang diredai Allah Subhanahu Wata'ala," ujar Yang Berhormat lagi.