Oleh : Rohani Haji Abdul HamidFoto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
LAMBAK KANAN, Rabu, 28 Oktober. - Dalam usaha mengeratkan silaturahim serta memperkukuh hubungan antara warga emas, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Brunei dan Muara (DBM) mengadakan Majlis Pembukaan Sambutan Hari Keluarga PKWE DBM Kali Ke-5 di Dewan Kemasyarakatan 2, Jalan 77, Lambak Kanan.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid, selaku tetamu kehormat dalam ucapan alu-aluannya menekankan kepentingan memastikan golongan warga emas sentiasa dihargai, diberikan ruang untuk melibatkan diri secara aktif serta terus memainkan peranan penting dalam masyarakat.
Menurut beliau, PKWE berperanan sebagai wadah yang menyediakan ruang kepada warga emas untuk bertemu, berinteraksi dan menyertai pelbagai aktiviti yang bermanfaat, di samping membina persahabatan serta hubungan sosial yang bermakna.
“Melalui aktiviti seumpama ini, para warga emas berpeluang untuk terus aktif, berkongsi minat dan pengalaman serta mengeratkan hubungan bersama ahli. Lebih daripada itu, PKWE juga menjadi wadah yang menghubungkan warga emas dengan keluarga dan masyarakat.
“Inilah antara usaha penting dalam memastikan para warga emas tidak berasa tersisih, sebaliknya terus menjadi sebahagian daripada kehidupan bermasyarakat,” jelas beliau.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Dayang Hajah Aminah binti Mohd. Yusop, diikuti dengan bacaan tafsiran oleh Dayang Hajah Alimah binti Metasan. Acara kemudiannya diteruskan dengan perasmian Sambutan Hari Keluarga PKWE DBM Kali Ke-5, diikuti persembahan syair dan sajak.
Penganjuran sambutan berkenaan bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah dalam kalangan ahli, malah turut memupuk semangat kerjasama antara generasi tua dengan generasi muda.
Selain menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan, sambutan tersebut juga berfungsi sebagai platform untuk meredakan tekanan daripada tugas harian, sekali gus menggalakkan hubungan yang lebih erat dalam kalangan ahli.