Oleh : Aimi Sani
Foto : Md. Sahrizal Haji Said
GADONG, Isnin, 5 Oktober. - Majlis Pelancaran Projek Pembekalan dan Penyewaan Kenderaan Agensi-Agensi Keselamatan dan Penguatkuasaan bagi tempoh lima tahun telah diadakan di Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan penyerahan rasmi sebanyak 539 buah kenderaan yang terdiri daripada 304 buah kereta dan 235 buah motosikal kepada agensi-agensi yang terlibat.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu.
Turut hadir, Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin dan Setiausaha Tetap di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pandu projek berkenaan, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad.
Juga berangkat, Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris; setiausaha-setiausaha tetap dan para pengarah dan timbalan pengarah serta pegawai-pegawai kerajaan dan wakil-wakil syarikat pembekal.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan oleh Penolong Pesuruhjaya Polis Zaila Haji Zaini, Pemangku Pengarah Jabatan Logistik PPDB selaku Ketua Urusetia projek berkenaan.
Projek tersebut merupakan hasil daripada Program Penyatupaduan Fiskal atau Fiscal Consolidation Programme oleh Kementerian Kewangan, yang bertujuan memperbaiki tadbir urus kewangan di samping mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan. Projek ini disertai oleh empat agensi iaitu PPDB, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Biro Kawalan Narkotik dan Jabatan Pengangkutan Darat.
Pelaksanaan projek ini telah menjimatkan peruntukan kerajaan menerusi kaedah perolehan yang selaras dan berpusat, di samping mengurangkan kerahan tenaga kerja sedia ada.
Melalui projek ini juga, dihasratkan tindak balas agensi menjadi lebih pantas, kehadiran agensi penguatkuasaan lebih ketara dan keyakinan awam terhadap agensi penguatkuasaan lebih tinggi. Peningkatan hasil operasi setiap agensi pula diharap dapat menyumbang kepada penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Penyerahan Rasmi Kenderaan Projek Pembekalan dan Penyewaan Kenderaan Agensi-Agensi Keselamatan dan Penguatkuasaan kepada agensi-agensi yang terlibat.