Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Sekolah-Sekolah
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 7 Oktober. - Sekolah Menengah Katok (SMK) telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil bagi meraikan pencapaian pelajar dalam menyempurnakan aktiviti pembungkusan rempah Sabli Food Industries (B) Sdn. Bhd. (Sabli Food Industries) bagi 2026.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para pelajar, Pengurus Sabli Food Industries, Awang Haji Mohd. Nooh bin Orang Kaya Maharaja Dinda Haji Saman.
Turut hadir, Pengetua SMK, Dayang Penroose Saleha binti Haji Mohd. Salleh; Ketua Unit Pendidikan Kerjaya, Jabatan Sekolah-Sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan, Dr. Andree Asmara bin Haji Abidin; Timbalan Pengetua Akademik, Dayang Suzanah binti Haji Kurus; Timbalan Pengetua Pentadbiran, Dayang Hajah Siti binti Pungut; dan Penolong Guru Kanan Akademik I, Dayang Hajah Suryani binti Haji Mahmud; pegawai-pegawai Unit Pendidikan Kerjaya, JSS dan guru-guru Program Pra-Vokasional.
Dalam ucapannya, Pengetua SMK, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Sabli Food Industries dan pihak JSS, Kementerian Pendidikan atas aktiviti pembungkusan rempah menerusi Program Simulasi Kerja di bawah Unit Pendidikan Kerjaya, JSS, Kementerian Pendidikan sejak 2015 yang dilaksanakan di beberapa sekolah menengah kerajaan yang terpilih.
Jelasnya lagi, Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar (SMSAB) adalah merupakan sekolah peneraju bagi program kerjasama berkenaan. SMK mula melaksanakan program berkenaan pada 2017 bersama dengan Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam (SMPIHM).
Dayang Penroose Saleha berharap agar kerjasama berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang kerana program tersebut terbukti berupaya meningkatkan kemahiran kebolehpasaran pelajar. Selain itu, ia memberi pendedahan dan pengalaman kerja sebenar sebagai persediaan sebelum mereka menjalani penempatan latihan serta melangkah ke alam pekerjaan kelak.
Beliau juga menambah bahawa sijil berkenaan amat bernilai dalam portfolio peribadi masa depan pelajar dan sebagai salah satu bukti pencapaian pelajar semasa belajar di sekolah ini.
Sementara itu, Dr. Andree Asmara selaku pegawai fokal program, turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sabli Food Industries dan SMK atas sokongan berterusan mereka.
Beliau juga menyeru pihak sekolah agar memanfaatkan Program Simulasi Kerja berkenaan sepenuhnya, memandangkan keberkesanannya telah terbukti apabila beberapa orang lepasan pelajar Program Pra-Vokasional berjaya memperoleh pekerjaan di sektor swasta.
Majlis turut diseri dengan perkongsian pengalaman daripada Awang Mohd. Zafir Adha bin Mohd. Zain, seorang pelajar Program Pra-Vokasional, mengenai pelaksanaan Program Simulasi Kerja.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada 18 pelajar Program Pra-Vokasional dan diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat majlis dan Ketua Unit Pendidikan Kerjaya sebagai tanda penghargaan oleh pengetua sekolah berkenaan.
Aktiviti pembungkusan rempah berkenaan merupakan kolaborasi di bawah Program Simulasi Kerja antara Sabli Food Industries dan JSS, Kementerian Pendidikan sejak 2015. Program berkenaan bertujuan membina kemahiran kebolehpasaran serta memberikan pengalaman kerja asas kepada para pelajar Program Pra-Vokasional.
Pada masa ini, terdapat tiga buah sekolah menengah kerajaan yang terpilih melaksanakan projek berkenaan, iaitu SMSAB, SMK dan SMPIHM.