Pastikan data tenaga kerja negara dikumpulkan secara tepat, lengkap

6 Okt 2026 - 6:48am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 Oktober. - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri sedang mengendalikan Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2026 seluruh negara bermula 5 Oktober hingga 1 November 2026.

Tujuan KTK ini diadakan adalah untuk mengumpulkan maklumat terkini mengenai saiz, struktur, taburan dan ciri-ciri tenaga kerja, pekerjaan, pengangguran dan lain ciri-ciri ekonomi penduduk yang akan digunakan dalam membantu perancangan, penyelidikan, penyediaan dasar dan pengurusan tenaga kerja.

Majlis Mengangkat Sumpah bagi pelantikan 78 orang pegawai KTK bagi Tahun 2026 telah diadakan pada 3 Oktober 2026 dan disaksikan oleh Pemangku Pengarah, Jabatan Perangkaan, JPES, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Awang Bahrum bin Haji Kadun.

Dalam ucapan alu-aluannya, Awang Bahrum menekankan peranan penting pegawai kajian dalam memastikan data tenaga kerja negara dikumpulkan secara tepat, lengkap dan berintegriti.

Sehubungan itu, pegawai kajian ditekankan untuk melaksanakan tugas secara profesional, mematuhi tatacara serta etika kerja luar yang ditetapkan, dan menguruskan penghantaran data dengan cekap serta tepat pada masanya.

Latihan selama lima hari telah diadakan bagi memberikan pemahaman yang menyeluruh kepada pegawai kajian mengenai konsep dan definisi tenaga kerja, tatacara pengendalian temu duga serta penggunaan tablet Computer Assisted Personal Interviewing (CAPI).

Latihan ini bertujuan memastikan kerja-kerja kajian dilaksanakan secara sistematik dan teratur bagi menghasilkan data tenaga kerja yang berkualiti dan tepat.

Semasa latihan tersebut, pegawai kajian juga diingatkan bahawa segala maklumat yang dikumpulkan di bawah Akta Perangkaan, Penggal 81 dari Undang-Undang Negara Brunei Darussalam (NBD) adalah dirahsiakan dan adalah menjadi tanggungjawab semua pegawai KTK untuk menyimpan dan menjaga semua maklumat yang dikumpul dengan mengikut protokol kerahsiaan.

Bagi memastikan proses berjalan dengan lancar, isi rumah yang terpilih adalah diingatkan untuk terlebih dahulu mengesahkan identiti pegawai kajian dengan membuat pemeriksaan pas kajian, surat lantikan, kad pengenalan dan vest rasmi JPES. Isi rumah yang mempunyai haiwan peliharaan, terutamanya anjing adalah disarankan untuk menempatkan haiwan peliharaan di tempat yang bersesuaian bagi tujuan keselamatan pegawai kajian semasa melaksanakan lawatan. KTK 2026 dijalankan di bawah Akta Perangkaan, Penggal 81 dari Undang-Undang NBD.

JPES ini ingin memberikan jaminan kepada semua isi rumah terpilih yang diliputi dalam kajian ini bahawa maklumat yang dikumpulkan akan disimpan sulit dan akan digunakan bagi keperluan perangkaan sahaja.

Menurut Seksyen 9 Akta Perangkaan, kegagalan atau keengganan untuk memberikan maklumat yang diperlukan atau memberikan maklumat palsu adalah menjadi satu kesalahan yang membawa hukuman denda sebanyak BND4,000.

Justeru, sokongan dan kerjasama semua keluarga / isi rumah terpilih semasa KTK 2026 adalah sangat diharapkan bagi sama-sama menjayakan kajian ini.

Sebarang pertanyaan mengenai KTK 2026 bolehlah dirujuk seperti berikut iaitu di talian dan WhatsApp, +673 7469844 (Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula pukul 7.45 pagi hingga 4.30 petang) atau melalui kiriman e-mel di alamat labourforce.survey@jpes.gov.bn atau melalui laman sesawang www.deps.gov.bn.