Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 21 Oktober. - Pameran Urusan Rumahtangga Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-80 Tahun bagi Daerah Brunei dan Muara dirasmikan dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Berangkat ke majlis berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.
Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.
Keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dijunjung oleh Yang Dipertua Persatuan Pertiwi, Datin Hajah Dayang Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohd. Yusof, selaku Pengerusi Bersama Majlis, serta ahli-ahli jawatankuasa yang lain.
Majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da’wah Islamiah, Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan.
Dalam sembah alu-aluannya, Datin Hajah Dayang Siti Hajar antara lain menekankan kepentingan kaum ibu untuk sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dalam menghadapi suasana global yang semakin mencabar, khususnya dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anak.
Menurutnya, kepekaan tersebut penting bagi membolehkan kaum ibu menangani pelbagai permasalahan berkaitan keluarga, keselamatan dan kesihatan.
Datin Hajah Dayang Siti Hajar turut menjelaskan bahawa penyertaan badan-badan bukan kerajaan (NGO), termasuk BASMIDA dan Brunei Cancer Support Group, dalam pameran berkenaan dihasratkan dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan kaum ibu mengenai permasalahan sosial serta penyakit yang perlu dicegah, di samping memberikan pendedahan mengenai langkah-langkah untuk menanganinya.
Yang Teramat Mulia seterusnya menyempurnakan perasmian pameran berkenaan, diikuti dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan serta cenderamata penghargaan kepada para peserta pameran.
Bacaan Doa Selamat disempurnakan oleh Pengiran Norhayati sebelum YTM dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran berkenaan.
Pameran anjuran Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Perayaan dan dikelolakan oleh Persatuan Pertiwi Brunei Darussalam itu merangkumi tiga bahagian utama, iaitu Bahagian Pertandingan, Bahagian Pameran serta Bahagian Demonstrasi dan Jualan Promosi.
Penyertaan melibatkan sektor swasta, badan-badan NGO dan individu perseorangan, termasuk golongan belia dan warga emas, serta masyarakat di peringkat akar umbi melalui penyertaan Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung.
Penganjuran pameran yang mengetengahkan pelbagai demonstrasi dan jualan promosi itu dihasratkan dapat membuka peluang ekonomi kepada kaum ibu, sama ada suri rumah mahupun wanita yang bekerja di luar rumah.
Jualan produk yang dipamerkan turut menonjolkan kepelbagaian hasil dan produk yang berpotensi menjana aktiviti ekonomi, meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Selain itu, demonstrasi yang diadakan memberikan peluang kepada para peserta untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan para pengunjung. Kaum wanita juga berpeluang mengetengahkan kemahiran masing-masing menerusi beberapa pertandingan kraftangan.