Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 21 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan menerima mengadap 13 Ketua Delegasi ASEAN dan dari Republik Rakyat China yang menyertai 16th China-ASEAN Prosecutor’s General Conference (CAPGC) yang berlangsung mulai 20 hingga 22 Oktober 2026.
Berangkat sama ke Majlis Mengadap yang berlangsung di Istana Nurul Iman tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Ketua-Ketua Delegasi tersebut terdiri daripada Ketua Pendakwa Raya China, Tuan Yang Terutama Ying Yong; Ketua Pendakwa Raya Kemboja, Puan Yang Terutama Chea Leang; Peguam Negara Malaysia, Tuan Yang Terutama Tan Sri Mohd. Dusuki bin Mokhtar; Menteri Kesatuan dan Peguam Negara Republik Kesatuan Myanmar, Puan Yang Terutama Dr. Thida Oo; Peguam Negara Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lucien Wong; Ketua Pendakwa Raya Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Dr. Nelson De Carvalho; Ketua Pendakwa Raya Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama Nguyen Huy Tien; Timbalan Peguam Negara Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Dr. R. Narendra Jatna; Timbalan Ketua Pendakwa Raya Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Bounthanh Bounthavilay; Pendakwa Raya Wilayah Republik Filipina, Puan Yang Terutama Rohairah Ampuan Lao; Timbalan Peguam Negara Thailand, Tuan Yang Terutama Chart Chaidejsuriya; Setiausaha Kehakiman Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Tuan Yang Terutama Paul Lam Ting-kwok; dan Ketua Pendakwa Raya Wilayah Pentadbiran Khas Macao, Tuan Yang Terutama Dr. Tong Hio Fong.
Turut hadir ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib, selaku Pengerusi CAPGC ke-16, dan Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam) selaku Pemangku Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Peguamcara Negara, Dayang Hajah Zuraini binti Haji Sharbawi, dan Penolong Peguamcara Negara, Dayang Hajah Suriana binti Haji Radin.
Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Ketua-Ketua Delegasi telah berbincang mengenai perkembangan dan isu-isu perundangan di rantau ASEAN dan Republik Rakyat China khasnya Hong Kong dan Macau.
CAPGC ke-16 merupakan sebuah platform pertukaran maklumat pelbagai hala di peringkat tinggi di antara pihak berkuasa pendakwaan Republik Rakyat China dan Negara-Negara ASEAN berkenaan isu-isu kepentingan bersama, yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan dalam membanteras jenayah rentas negara, melindungi kesejahteraan hidup rakyat dan mengekalkan kestabilan serantau.
Persidangan pada tahun ini diadakan di bawah tema ‘Protecting Children in the Digital Age: Harmonizing Legal Frameworks and International Cooperation’.