Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan
GADONG, Rabu, 26 Ogos. - Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB) melalui Unit Penguatkuasaan Aset Bandaran dengan kerjasama Seksyen Perlesenan dan Pengurusan Peniaga telah menjalankan operasi pemeriksaan ke atas peniaga-peniaga bertempat di Pasar Gadong dan Pasar Pelbagai Barangan Gadong, baru-baru ini.
Dalam operasi tersebut, pihak Jabatan Bandaran BSB telah memberikan teguran serta nasihat kepada para peniaga agar sentiasa mematuhi syarat-syarat dan peraturan perlesenan yang berkuat kuasa, khususnya dalam memastikan barangan jualan serta peralatan perniagaan tidak melebihi petak atau ruang yang telah ditetapkan.
Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan mendapati seramai 20 orang peniaga bangku di Pasar Gadong telah diberikan teguran atas kesalahan menyimpan tong melebihi had yang dibenarkan (melebihi 2 buah tong) serta menggunakan kayu ‘pallet’ sebagai platform berdiri di kawasan petak jualan.
Manakala seramai 79 orang peniaga bangku di Pasar Pelbagai Barangan Gadong telah diberikan teguran atas kesalahan menggunakan ruang perniagaan di luar daripada petak jualan yang telah ditetapkan.
Jabatan Bandaran BSB sentiasa menegaskan dan mengingatkan semua peniaga agar sentiasa menjaga ketertiban, kebersihan dan mematuhi syarat-syarat perniagaan demi keselamatan serta keselesaan para pengunjung.
Pihak Jabatan Bandaran BSB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas mengikut undang-undang yang berkuat kuasa sekiranya arahan dan teguran yang diberikan tidak diendahkan.