NBD, IsDB perkukuh perkongsian strategik bagi pembangunan mampan

7 Okt 2026 - 7:40am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 6 Oktober. - Negara Brunei Darussalam (NBD) kekal komited sepenuhnya untuk merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035, berpandukan Rancangan Kemajuan Negara seperti Pelan Tindakan Ekonomi Brunei Darussalam.

Sepertimana yang digariskan dalam Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2026/2027, NBD berhasrat untuk menjana ekonomi yang mampan, berdaya tahan dan berdaya saing, disokong oleh pengurusan fiskal yang kukuh, transformasi dan inovasi ekonomi, serta pembangunan mampan demi generasi masa hadapan.

Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah menggariskan perkara tersebut dalam ucapan pembukaannya pada Majlis Pelancaran Country Engagement Framework (CEF) for Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan, hari ini.

Jelas Yang Berhormat Menteri Kewangan II, aspirasi-aspirasi ini selari dengan prinsip-prinsip Maqasid Syariah, yang mengutamakan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat serta pemeliharaan sumber untuk generasi masa kini dan akan datang.

Bahkan, asas bersama ini tambah Yang Berhormat, memberikan keunikan tersendiri kepada perkongsian kita, di mana kita mengusahakan matlamat yang sama dan oleh itu, mampu melaksanakannya secara bersama.

Bukan itu sahaja, Rangka Kerja Penglibatan Negara ini berteraskan tema 'Melangkah ke Arah Ekonomi yang Pelbagai, Dinamik dan Mampan' terangnya, disusun berdasarkan dua tonggak utama; pertama, mempromosikan kewangan Islam yang mampan; dan kedua, pembangunan sektor swasta, sambil menangani keutamaan merentas sektor seperti pembinaan kapasiti, pemerkasaan wanita dan belia, serta adaptasi dan mitigasi perubahan iklim.

"Bagi NBD, Rangka Kerja ini menyokong agenda Wawasan Brunei 2035 kita; iaitu menarik pelaburan berkualiti, memindahkan pengetahuan dan kemahiran, membuka pasaran baharu serta menjana limpahan ekonomi yang bermakna, di samping pembangunan MSME dan penyediaan peluang pekerjaan berkualiti.

"Ia juga menawarkan ruang untuk memanfaatkan teknologi, inovasi dan transformasi digital, sekali gus memperkukuh daya saing, produktiviti dan kecekapan kita dalam ekonomi global yang berkembang pesat," kata Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya berkata, Rangka Kerja ini juga merupakan satu bentuk pertukaran dua hala. NBD mengiktiraf bahawa kekuatan Kumpulan IsDB melangkaui aspek pembiayaan semata-mata. Kumpulan ini menghimpunkan kepakaran dalam bidang pembangunan dan kewangan Islam, pembangunan sektor swasta, perdagangan dan pelaburan, bantuan teknikal, peningkatan kapasiti serta perkongsian ilmu, di samping rangkaian yang luas merentasi 57 negara anggotanya.

"Oleh itu, kami menganggap IsDB sebagai rakan kongsi pembangunan strategik yang mampu menghubungkan NBD dengan kepakaran, teknologi, pelaburan, pasaran dan peluang ekonomi baharu. Kita juga boleh meneroka peluang bagi penyelesaian yang dapat memangkin penglibatan sektor swasta yang lebih besar, sambil memaksimumkan impak dan mengoptimumkan penggunaan sumber.

"Begitu juga, NBD boleh menyumbangkan pengalaman tersendiri seperti dalam aspek peraturan kewangan Islam, pembangunan industri halal, serta penerapan prinsip Maqasid Syariah ke dalam dasar negara sebagai ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh negara-negara anggota lain,"  ujar Yang Berhormat.

Malahan, semangat saling memanfaatkan ini turut merangkumi aspek modal insan. Menurut Yang Berhormat, golongan profesional, institusi, dan sektor swasta di Brunei mengalu-alukan peluang untuk menyertai program kerjasama teknikal IsDB. Melalui cara ini, penglibatan IsDB di NBD dapat mempamerkan model praktikal tentang bagaimana kewangan Islam dan pembangunan sektor swasta mampu memacu kemakmuran bersama dalam sesebuah ekonomi kecil berasaskan sumber yang sedang giat mempelbagaikan ekonominya.

Terdahulu, Yang Berhormat berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran Presiden Bank Pembangunan Islam (IsDB), Tuan Yang Terutama Dr. Muhammad Al-Jasser, yang mencerminkan ikatan persahabatan dan kerjasama yang kukuh antara NBD dan IsDB.

Sejak menyertai IsDB pada tahun 1986, NBD jelasnya, telah menikmati hubungan kerjasama yang erat dan berkekalan dengan IsDB, yang diasaskan atas nilai-nilai bersama, rasa saling menghormati, serta komitmen bersama ke arah pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan.

Katanya, hari ini menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan tersebut dengan pelancaran Rangka Kerja Penglibatan Negara (CEF) antara Kumpulan IsDB dan NBD bagi tempoh tahun 2026 hingga 2028. Mereka yakin bahawa penglibatan yang dimuktamadkan secara rasmi ini akan memperkukuh kerjasama kita serta memajukan keutamaan demi manfaat bersama.

Kejayaan perkongsian ini akan dinilai berdasarkan hasil yang nyata. Oleh itu, Yang Berhormat menggalakkan semua kementerian dan agensi kerajaan, institusi kewangan, serta pihak berkepentingan yang hadir hari ini untuk melibatkan diri secara aktif dengan Kumpulan IsDB bagi mengenal pasti inisiatif yang berdaya maju dan boleh dilaksanakan, demi menyokong pencapaian Wawasan Brunei 2035. Interaksi hari ini tidak seharusnya sekadar menjadi wadah pertukaran pandangan, sebaliknya menjadi titik permulaan bagi tindakan susulan dan pelaksanaan yang konkrit.

CEF merupakan sebuah rangka kerja strategik jangka masa sederhana di antara NBD dan IsDB, yang akan memacu kerjasama di sektor-sektor yang dikenal pasti bagi mendukung kemajuan sosioekonomi NBD dengan memberikan tumpuan terhadap memperluaskan peluang kerjasama dalam bidang kewangan Islam, pembangunan kapasiti dan bidang-bidang yang lain, bagi menyokong Wawasan Brunei 2035.

Sehubungan itu, Majlis Pelancaran CEF di antara NBD dan IsDB disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan II dan disaksikan oleh Tuan Yang Terutama Presiden IsDB.

Tuan Yang Terutama dalam ucapannya pada majlis tersebut antara lain berkata, Kumpulan IsDB bersedia untuk mengerahkan kekuatan penuh institusinya dalam perkongsian berkenaan dengan menggembleng kepakaran dan sumber dalam bidang kewangan Islam, pembangunan sektor swasta, pembiayaan perdagangan, insurans kredit eksport, serta kerjasama Selatan-Selatan.

"Kami komited untuk menempuh perjalanan ini bersama NBD bukan sekadar sebagai penyedia pembiayaan, malah sebagai rakan pembangunan yang dipercayai dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

"Oleh itu, marilah kita beralih daripada wawasan kepada tindakan, daripada tindakan kepada hasil, dan daripada hasil kepada kemakmuran yang berkekalan," ujar TYT.