Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
REPUBLIK PERANCIS, Selasa, 6 Oktober. - Negara Brunei Darussalam (NBD) telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 10 finalis Anugerah UNESCO-Hamdan bagi Pembangunan Guru 2026 melalui Teachers Teaching Teachers Collaborative Learning System (T3), sebagai pengiktirafan terhadap usaha negara dalam memperkukuh pembangunan profesional, kepimpinan dan kerjasama dalam kalangan guru.
Pengiktirafan tersebut diumumkan semasa Majlis Penyampaian Anugerah UNESCO-Hamdan yang diadakan di Ibu Pejabat UNESCO di Paris bersempena dengan Hari Guru Sedunia 2026.
Negara Brunei Darussalam telah disenarai pendek daripada 169 permohonan yang diterima dari 64 buah negara, manakala tiga penerima anugerah ialah Ethiopia, Republik Indonesia dan Republik Türkiye.
Menteri Pendidikan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh, telah menghadiri majlis tersebut dan menyertai sesi panel menteri bertajuk 'Rethinking and Elevating the Status of Teachers: Ministerial Perspectives and Shared Priorities'.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Menteri Pendidikan menekankan akan kepentingan untuk memupuk sahsiah dalam era digital, dengan mengambil perhatian bahawa kanak-kanak pada masa kini semakin dipengaruhi oleh platform digital, trend global dan komuniti dalam talian.
Yang Berhormat menekankan kepentingan menjadi teladan yang baik, menerapkan pendidikan sahsiah dalam pembelajaran, melengkapkan para pelajar dengan keupayaan untuk menangani dilema dalam persekitaran digital, memperkukuh kerjasama antara sekolah, keluarga dan masyarakat, serta melabur dalam pembangunan guru melalui latihan, masa dan pengiktirafan.
Yang Berhormat turut menekankan bahawa guru hendaklah terus menjadi pembelajar sepanjang hayat, disokong oleh dasar-dasar yang menyediakan masa, kepercayaan, pembangunan profesional serta ruang dan laluan untuk kerjasama. Beliau menegaskan bahawa guru hendaklah diiktiraf bukan semata-mata sebagai penerima dasar, tetapi sebagai rakan profesional, pembina pengetahuan dan peneraju perubahan.
Pada akhir sesi panel tersebut, Yang Berhormat merakamkan penghargaan kepada para guru atas dedikasi dan komitmen berterusan mereka terhadap kanak-kanak dan pendidikan serta menyeru mereka agar terus mengambil berat terhadap para pelajar dan tetap menjadikan pendidikan sebagai keutamaan, sebelum mengakhiri sesi dengan ucapan 'Selamat Hari Guru'.
Kementerian Pendidikan mengucapkan tahniah kepada semua finalis dan berbangga atas pengiktirafan yang diterima oleh NBD di peringkat antarabangsa. Pencapaian ini menyediakan platform penting bagi NBD untuk berkongsi pengalaman dalam pembangunan guru serta memperkukuh komitmen negara dalam melahirkan guru yang berdedikasi, berdaya dan bekerjasama, yang menyumbang kepada peningkatan mutu pendidikan serta pembentukan masa depan para pelajar.
Yang Berhormat turut diiringi oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, selaku Setiausaha Agung Suruhanjaya Kebangsaan NBD bagi UNESCO, bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan, termasuk pasukan T3 dari Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam yang membentangkan inisiatif T3 pada majlis tersebut.