Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 4 Oktober. - Keahlian dan penglibatan dalam Nadi al-Lughaat (Kelab Bahasa) diharapkan menjadi satu nilai tambah kepada pembangunan diri pelajar.
Kehidupan sebagai pelajar bukan hanya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata. Penglibatan dalam kegiatan kokurikulum juga penting dalam membina keyakinan, kemahiran komunikasi, kepimpinan, kreativiti dan semangat bekerjasama.
Perkara berkenaan disampaikan oleh Pengarah Pusat Bahasa, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Pengiran Nurul Majeedah binti Pengiran Haji Hamdan, dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Perasmian Nadi al-Lughaat, yang telah berlangsung baru-baru ini di Dewan Ta'lim, kolej universiti berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Penolong Ra'es III (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), KUPU SB, Awang Haji Md. Syahiran bin Haji Md. Sofian, yang seterusnya menyempurnakan perasmian Nadi al-Lughaat dan menyampaikan surat lantikan kepada Ahli Jawatankuasa Nadi berkenaan.
Penubuhan Nadi al-Lughaat di bawah kelolaan Pusat Bahasa KUPU SB merupakan satu inisiatif yang signifikan dalam memupuk minat, memperkukuh penguasaan serta meningkatkan penghargaan terhadap pelbagai bahasa dalam kalangan pelajar KUPU SB.
Kelab berkenaan berperanan sebagai wadah untuk menggalakkan pembelajaran, penguasaan dan penggunaan bahasa secara holistik melalui pelbagai aktiviti akademik, kebudayaan dan kemasyarakatan.
Tumpuan utama kelab adalah terhadap bahasa-bahasa yang ditawarkan di Pusat Bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa Arab, bahasa Inggeris, bahasa Isyarat, serta bahasa - bahasa Antarabangsa yang releven seperti bahasa Republik Türkiye dan bahasa Urdu.