Meningkatkan kompetensi profesional, memperkasa kemahiran, perkongsian ilmu

7 Okt 2026 - 6:17am

Siaran Akhbar dan Foto : PUJA (B) Academy Sdn. Bhd.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 6 Oktober. - PUJA (B) Academy Sdn. Bhd. (PASB) baru-baru ini telah mengendalikan bengkel bertajuk ‘Generative AI for Engineers: A Practical Hands-on Workshop Using ChatGPT & Gemini’ yang berlangsung di Syndicate Room 5, BRIDEX Banquet Hall.

Bengkel sehari penuh yang diadakan dari pukui 9.00 pagi hingga 4.30 petang berkenaan disertai oleh seramai 61 peserta, dengan setiap peserta dianugerahkan enam mata Pembangunan Profesional Berterusan (Continuing Professional Development-CPD) setelah selesai mengikuti bengkel berkenaan.

Inisiatif berkenaan adalah selaras dengan salah satu objektif Teras Strategik PUJA, iaitu meningkatkan kualiti kompetensi profesional serta memperkembangkan kemahiran, pengetahuan dan pemindahan ilmu.

Bengkel berkenaan dikendalikan oleh Ir. Ts. Dr. Ahmad Azlan bin Ab Aziz, seorang Jurutera Profesional, penyelidik, inovator dan pendidik yang kini berkhidmat sebagai Deputy Director of the Centre of Research in Agriculture & Food Technology di Universiti Teknologi Brunei (UTB).

Sebagai seorang ASEAN Chartered Professional Engineer and Professional Engineer (BEM) yang mempunyai pengkhususan dalam bidang Kecerdasan Buatan dan Internet of Things (AIoT), Embedded Systems, Edge Computing serta Kejuruteraan Pintar.

Kepakaran teknikal dan pengalaman praktikal beliau telah memberikan nilai tambah kepada sesi bengkel berkenaan.

Para peserta didedahkan kepada program komprehensif yang merangkumi asas-asas AI generatif dan teknik menghasilkan arahan (prompting) yang berkesan, diikuti dengan sesi amali berkaitan penggunaan AI dalam mendapatkan maklumat kejuruteraan, mentafsir lukisan teknikal serta menjana idea dan membangunkan konsep kejuruteraan.

Sesi-sesi berkenaan turut disesuaikan mengikut bidang-bidang utama, termasuk kejuruteraan awam, kejuruteraan struktur, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektrik dan elektronik serta dokumentasi teknikal. Pendekatan berkenaan memberikan konteks khusus mengikut bidang kepada para peserta mengenai cara mengaplikasikan teknologi berkenaan dalam tugas dan bidang kerja masing-masing.

Sementara pada sesi sebelah petang pula, para peserta didedahkan kepada penggunaan AI dalam reka bentuk dan perancangan kejuruteraan, aplikasi khusus mengikut bidang serta semakan kejuruteraan, keselamatan dan pelaporan.

Bengkel kemudiannya diakhiri dengan cabaran berkumpulan dan sesi pembentangan.

Mengongsikan pandangannya mengenai peranan AI dalam amalan kejuruteraan, Ir. Ts. Dr. Ahmad Azlan menjelaskan bahawa penggunaan AI bukan bertujuan untuk menggantikan keseluruhan proses kejuruteraan.

Sebaliknya jelasnya lagi, teknologi berkenaan berperanan sebagai asas dalam melaksanakan sesuatu tugasan dan sebagai satu bentuk percambahan fikiran yang membantu para jurutera menangani permasalahan dengan lebih pantas dan kreatif, sebelum menggunakan pertimbangan profesional serta melaksanakan pengesahan sendiri.

Bengkel berkenaan juga mencerminkan sumbangan lebih luas PUJA dalam mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035, khususnya melalui pengukuhan kerjasama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), di samping menyokong usaha meningkatkan dan memperbaharui kemahiran para profesional agar kekal relevan dalam menghadapi perkembangan teknologi yang pesat.

Dengan membekalkan peserta dengan kemahiran praktikal berkaitan AI, PASB terus memainkan peranan dalam memperkukuh tenaga kerja yang berpengetahuan, berkemahiran dan mampu menyesuaikan diri, selaras dengan visi jangka panjang negara.

Sijil penghargaan telah disampaikan kepada penceramah, Ir. Ts. Dr. Ahmad Azlan, oleh Pengerusi PASB, Dato Seri Paduka Ar. Haji Marzuke bin Haji Mohsin, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bengkel berkenaan.

Ucapan penutup disampaikan oleh Pengarah Urusan PASB, Ir. Hajah Fatimah binti Haji Md. Ali, yang merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan acara berkenaan, di samping mengalu-alukan penyertaan para peserta dalam program-program PUJA yang akan datang.

Bengkel berkenaan mencerminkan komitmen berterusan PASB dalam membekalkan ahli-ahlinya dengan kemahiran praktikal yang relevan dan bersedia menghadapi keperluan masa hadapan, sekali gus memperkukuh misi organisasi dalam meningkatkan kesedaran, memperkasa pengetahuan serta mempertingkat pengalaman dalam kalangan komuniti profesional di Negara Brunei Darussalam.