Meningkatkan jumlah DCO berkemahiran, berpengetahuan

8 Okt 2026 - 6:22am

Siaran Akhbar dan Foto : Jawatankuasa Anti-Doping Brunei Darussalam

BERAKAS, Rabu, 7 Oktober. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jawatankuasa Anti-Doping Brunei Darussalam (BDADC) telah menganjurkan Kursus Pegawai Kawalan Doping Tahun 2026 pada 25 September dan 27 September 2026 serta 2 Oktober dan 4 Oktober 2026 bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Kursus tersebut dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan jumlah Pegawai Kawalan Doping (DCO) yang berkemahiran dan berpengetahuan dalam Proses Kawalan Doping sebagaimana Piawaian Antarabangsa Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) seterusnya memenuhi keperluan Ujian Doping di Negara Brunei Darussalam yang semakin meningkat.

Kursus telah dikendalikan oleh Ketua Pegawai Kawalan Doping BDADC selaku Ketua Fasilitator Kursus, Awang Mohammad Yussof bin Yaakub dan dibantu oleh Pegawai-pegawai Kawalan Doping BDADC.

Hadir selaku tetamu kehormat di Majlis Penutupan Rasmi Kursus dan seterusnya menyampaikan sijil-sijil ialah Timbalan Pengerusi BDADC, Awang Sukardi bin Kaderi.

Proses Kawalan Doping merupakan satu proses pengambilan sampel atlet (melalui urin atau darah) yang dilaksanakan mengikut prosedur yang ketat dalam memastikan proses tersebut dilaksanakan secara profesional, bebas daripada konflik kepentingan, telus dan mengikut piawaian WADA.