Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 4 Oktober. - Kematian merupakan satu hakikat kehidupan yang pasti akan dilalui oleh setiap yang bernyawa. Kematian bukanlah penamat, tetapi sebaliknya merupakan sebuah pintu gerbang menuju ke alam abadi. Oleh sebab kematian itu pasti, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyarankan agar kita sentiasa menghidupkan ingatan kita kepada kematian.
Demikian antara inti pati tazkirah bertajuk 'Zikrul Maut - Benteng dan Penyelamat Diri' yang disampaikan oleh Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Abdul Hadi Nasrullah bin Muhammad Ashraf dari Masjid Kampung Lumapas bagi menyerikan Program Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-249, baru-baru ini.
Tambah Awang Abdul Hadi Nasrullah, Imam Al-Ghazali Radhiallahuanhu di dalam kitab beliau, Ihya' 'Ulumuddin, menyebutkan bahawa pada mengingati mati itu ada dua faedah utama.
"Yang pertama, An-Nafrah 'Anid dunya, iaitu hatinya menjauh dan melarikan diri daripada tertipu dengan kemewahan dunia. Kedua, Asy Syauq ilal-akhirah, iaitu timbulnya rasa rindu yang mendalam terhadap ganjaran dan kehidupan akhirat. Perkara ini diperkuatkan lagi oleh wasiat dan nasihat Imam 'Abdullah bin Alawi al-Haddad Radhiallahuanhu.
"Beliau memetik bahawa orang yang sentiasa meletakkan kematian di hadapan matanya akan memperolehi beberapa kebaikan iaitu bersegera beramal soleh, hati yang Zuhud, dan lekas-lekas dalam bertaubat. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan kita hati yang sentiasa bersiap sedia, mematikan kita dalam husnul khatimah, dan mengumpulkan kita bersama golongan hamba-Nya yang soleh di akhirat kelak," jelasnya.
Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir, belia dan jemaah dari Masjid Kampung Lumapas serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja KHEU dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Juga hadir bagi sama-sama mengimarahkan program berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Atur cara program Malam Munajat tersebut dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohamad Ali bin Tanjong juga selaku Ketua Kampung Lumapas 'B' dan Penasihat Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Lumapas yang bersiaran dari Masjid Kampung Lumapas.
Ini diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Jabatan Sekolah-Sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan, Awang Mohamad Wazzirul Wafaudin bin Esa juga selaku Setiausaha Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Lumapas.
Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pemangku Ketua Imam, Imam Masjid Kampung Lumapas, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Muhammad Aizat bin Mohammad Sah Minan.
Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Pegawai Pendidikan Tingkat Khas, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, JSS, Kementerian Pendidikan, Awang Haji Zulkiflee bin Haji Jaili juga selaku Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Kampung, Kampung Lumapas 'B'.
Sejurus selesai tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Pengasas Al-Busyra Islamic Event Management, Belia Masjid Kampung Lumapas, Awang Haji Mohammad Ali Wafiuddin bin Haji Osman. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Bilal Masjid Kampung Lumapas, Awang Muhammad Hilmi bin Muhammad Iskandar.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut : http://tiny.cc/munajatkheu.