Siaran Akhbar : Brunei Darussalam Central Bank
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 25 Ogos. - Sempena Hari Celik Kewangan Kebangsaan (NFLD) 2026, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) akan mengadakan acara selama tiga hari yang merangkumi Jerayawara Kesedaran Kewangan dan Taklimat Kewangan, bermula Rabu, 2 September 2026 sehingga Jumaat, 4 September 2026.
Bertemakan 'Tabiat Kewangan Bijak, Kesejahteraan Kewangan Lebih Kukuh', acara berkenaan bertujuan untuk menggalakkan tabiat kewangan yang bijak dan memperluas akses kepada pengetahuan kewangan.
NFLD merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh BDCB sejak 2015, dengan sokongan Majlis Kebangsaan Celik Kewangan (MKCK), agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan industri kewangan.
NFLD bertujuan untuk meningkatkan tahap celik kewangan di Negara Brunei Darussalam (NBD) dengan menggalakkan pengurusan kewangan yang bijak serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai produk dan perkhidmatan kewangan yang ditawarkan di negara ini. Ini mencerminkan komitmen bersama untuk memperkasa individu dan masyarakat di seluruh NBD dalam membuat keputusan kewangan yang bermaklumat dan mencapai kesejahteraan kewangan yang lebih baik.
Orang ramai adalah dialu-alukan untuk mengunjungi Jerayawara Kesedaran Kewangan yang akan diadakan di Atrium, The Mall, Gadong mengikut jadual berikut, iaitu Rabu, 2 September 2026 dan Khamis, 3 September 2026, bermula pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang; manakala pada Jumaat, 4 September 2026 bermula pukul 9.00 pagi hingga 11.30 pagi dan 2.30 petang hingga 5.00 petang.
Jerayawara berkenaan akan menghimpunkan pelbagai institusi kewangan dan rakan strategik, termasuk Tabung Amanah Pekerja (TAP), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), serta wakil-wakil daripada sektor perbankan, takaful dan insurans, perkhidmatan pasaran modal dan pembayaran.
Melalui pameran interaktif, aktiviti kewangan dan sesi khidmat nasihat, orang ramai berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan agensi dan institusi yang terlibat serta mendapatkan maklumat dan panduan praktikal untuk membantu mereka membuat keputusan kewangan yang lebih bermaklumat.
Pengunjung boleh mempelajari cara mengurus kewangan dengan lebih baik, memahami hak dan tanggungjawab sebagai pengguna kewangan, meneroka pilihan takaful, insurans, simpanan dan pelaburan, menggunakan pembayaran digital dengan selamat serta melindungi diri daripada penipuan kewangan. Pemilik dan pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) juga boleh mempelajari cara-cara untuk membantu mengurus kewangan perniagaan dengan lebih baik.
Di samping jerayawara berkenaan, BDCB juga akan mengadakan Taklimat Kewangan bagi peserta-peserta jemputan daripada agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan institusi pengajian tinggi. Taklimat berkenaan akan mengetengahkan dua topik utama.
Achieving Financial Freedom akan memberikan panduan praktikal mengenai simpanan, perbelanjaan, pengurusan hutang, perancangan kewangan jangka panjang, takaful dan insurans serta pelaburan. Digital Scams Awareness pula akan mengetengahkan taktik penipuan terkini serta langkah-langkah praktikal untuk melindungi diri dalam persekitaran kewangan yang semakin berteraskan digital.
Sesi-sesi berkenaan akan disokong oleh Cyber Security Brunei (CSB) dan Financial Planning Association of Brunei Darussalam (FPAB).
Untuk maklumat lanjut mengenai NFLD 2026, orang ramai bolehlah melayari ‘www.bdcb.gov.bn’ atau mengikuti akaun Instagram ‘@centralbank.brunei’ dan ‘@usinwise’.