Memperkukuh keterjaminan makanan serantau melalui sistem agrimakanan produktif

26 Og 2026 - 6:52am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri

HANGZHOU, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Selasa, 25 Ogos. - Menteri - menteri yang bertanggungjawab terhadap keterjaminan makanan di seluruh rantau Asia-Pasifik telah berhimpun pada hari ini di Hangzhou, Wilayah Zhejiang, Republik Rakyat China bagi menghadiri 11th APEC Food Security Ministerial Meeting.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Zhang Zhu, serta dihadiri oleh delegasi daripada ekonomi anggota APEC dan wakil daripada Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), ASEAN, Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik (PECC) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) diketuai oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; dan disertai oleh Setiausaha Tetap (Penyelarasan Dasar Ekonomi) di Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim, serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, KEPI.

Di bawah tema 2026, iaitu 'Membina Komuniti Asia-Pasifik Untuk Makmur Bersama' (Building an Asia-Pacific Community to Prosper Together), mesyuarat berkenaan menggariskan komitmen bersama serantau untuk memperkukuh keterjaminan makanan dengan memajukan sistem agrimakanan yang produktif, mampan, berdaya tahan dan inovatif, di samping memanfaatkan teknologi moden serta memperkukuh kerjasama serantau.

Mesyuarat turut memberi tumpuan kepada memanfaatkan sains pertanian, inovasi teknologi dan transformasi digital sebagai pemacu utama dalam menangani cabaran keterjaminan makanan, meningkatkan pembangunan pertanian dan luar bandar, serta meletakkan asas yang lebih kukuh ke arah kemakmuran bersama.

Dalam mesyuarat berkenaan, NBD telah mengesahkan semula komitmennya untuk memperkukuh keterjaminan makanan serantau melalui sistem agrimakanan yang produktif, mampan, berdaya tahan dan inovatif.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri mengetengahkan tiga keutamaan utama, iaitu memperkukuh kapasiti pengeluaran makanan melalui inovasi pertanian dan teknologi pintar iklim; memudah cara perdagangan makanan melalui pengeluaran bernilai tambah, penambahbaikan logistik rantaian sejuk dan kerjasama serantau; serta menghidupkan semula komuniti luar bandar dengan menggalakkan kesalinghubungan digital, agropelancongan, pembangunan tanah dan penyertaan golongan belia yang lebih aktif dalam pertanian moden.

Yang Berhormat turut menekankan bahawa teknologi dan inovasi amat penting dalam meningkatkan keterjaminan makanan, khususnya bagi ekonomi kecil yang mempunyai kawasan tanah pertanian yang terhad.

Tambah Yang Berhormat, antara inisiatif utama termasuk penggunaan Kecerdasan Buatan (AI), automasi, dron, Internet Kebendaan (Internet of Things - IoT) dan teknologi berkuasa solar dalam pertanian pintar serta akuakultur, di samping penyelidikan mengenai padi hibrid dengan kerjasama rakan kongsi antarabangsa.

Seterusnya Yang berhormat mengongsikan NBD kekal komited untuk membangunkan keupayaan teknologi dalam negara, memperkukuh perkongsian serantau serta menterjemahkan kerjasama APEC kepada penyelesaian praktikal ke arah mewujudkan sistem agrimakanan yang berdaya tahan, regeneratif dan mampan.

Pada akhir mesyuarat menteri berkenaan, para menteri daripada ekonomi anggota APEC telah menerima pakai Prinsip-prinsip bagi Memperkukuh Daya Tahan Sistem Makanan di Rantau APEC melalui Inovasi dan Pendigitalan, serta mengeluarkan Kenyataan Bersama pada 11th APEC Food Security Ministerial Meeting.