Siaran Akhbar dan Foto : Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 15 Oktober. - The 50th ASEAN Ports Association (APA) Main Meeting secara rasmi bermula hari ini di Bandar Seri Begawan (BSB), Negara Brunei Darussalam (NBD) dan akan berlangsung sehingga 15 Oktober 2026.
Mesyuarat berkenaan dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) sebagai platform penting bagi dialog serantau, perkongsian pengetahuan dan kerjasama strategik dalam kalangan ahli APA.
Perhimpunan berkenaan menghimpunkan delegasi dari NBD, Kemboja, Republik Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Lao, Malaysia, Republik Kesatuan Myanmar, Republik Filipina, Republik Singapura, Thailand dan Republik Sosialis Viet Nam, sekali gus mengukuhkan semula komitmen bersama untuk mempererat kerjasama maritim serta memajukan pembangunan pelabuhan serantau.
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.
Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Mulia Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri merakamkan penghargaan kepada Negara-negara Anggota ASEAN, pertubuhan gabungan dan rakan dialog atas komitmen serta kerjasama berterusan yang diberikan.
Yang Mulia Timbalan Menteri turut menekankan bahawa selain memudahkan pertukaran maklumat dan kepakaran teknikal, persatuan berkenaan juga berperanan membina kepercayaan, mengukuhkan rangkaian profesional dan menggalakkan kerjasama praktikal yang menyokong kelancaran perdagangan serantau.
Tambah Yang Mulia Timbalan Menteri lagi, usaha berkenaan juga membolehkan pelabuhan meningkatkan operasi, memperkukuh keupayaan serta menangani cabaran bersama secara kolektif.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Ketua Pelabuhan MPABD, Kapten Basza Alexzandar bin Haji Basri.
Di bawah kepimpinannya, beliau menegaskan semula komitmen bersama ahli-ahli untuk membangunkan sektor pelabuhan serantau yang lebih bersepadu dan berdaya tahan.
Beliau turut menekankan bahawa pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama China Ports and Harbours Association (CPHA) merupakan langkah penting ke arah memperluas jaringan kerjasama, memudah cara pertukaran kepakaran dan memperkukuh hubungan kerjasama antara pelabuhan.
Kapten Basza Alexzandar turut mengenal pasti kajian semula Perlembagaan dan Undang-undang Kecil APA, serta cadangan Matlamat Strategik APA, sebagai keutamaan utama dalam memperkukuh tadbir urus persatuan dan menentukan hala tuju masa depannya.
Dalam mengakhiri ucapan pembukaan, beliau menyeru agar perbincangan dilaksanakan secara konstruktif bagi memastikan keutamaan strategik berkenaan dapat dimajukan dengan berkesan.
Penganjuran 50th APA Main Meeting oleh MPABD turut mencerminkan peranan pihak berkuasa berkenaan dalam menghimpunkan pihak berkuasa pelabuhan serantau untuk berkongsi kepakaran, menangani cabaran bersama dan meneroka peluang kerjasama.
Ia juga memperlihatkan peranan MPABD sebagai badan pengawal selia, pemudah cara pembangunan sektor serta wakil NBD dalam memajukan sektor maritim yang selamat, cekap dan mampan.
Sepanjang tiga hari mesyuarat, pelbagai agenda akan dibincangkan, termasuk pembangunan pelabuhan serantau, amalan terbaik dalam operasi serta peluang kerjasama rentas sempadan.
Sesi plenari pula menyediakan ruang kepada para ahli untuk menilai kemajuan yang telah dicapai secara bersama serta mengenal pasti keutamaan bersama bagi komuniti pelabuhan ASEAN.
Mesyuarat berkenaan merupakan satu pencapaian penting dalam usaha berterusan APA untuk memperkukuh kerjasama pelabuhan serantau.
Melalui penglibatannya dalam persatuan berkenaan, MPABD terus memperkukuh jalinan kerjasama bagi menyokong keutamaan maritim NBD serta menyumbang kepada pembentukan rangkaian pelabuhan ASEAN yang lebih terhubung, berdaya saing dan berdaya tahan.