Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani
Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 25 Ogos. - Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong 'B' melalui inisiatif jawatankuasa tertinggi berserta ahli-ahlinya pada setiap tahun mengadakan Sambutan Maulidur Rasul setiap bulan Rabiulawal yang bermula pada 1 Rabiulawal hingga 12 Rabiulawal Tahun Hijrah.
Sehubungan itu, Majlis Penutup Sambutan Maulidur Rasul bagi Tahun Hijrah 1448H dan Majlis Penghargaan Kepada Ahli Biro Wanita MPK Sengkurong 'B' yang telah mencapai usia 70 tahun berlangsung di Star Lodge, Jerudong, Mukim Sengkurong, di sini.
Hadir pada majlis berkenaan, Pengerusi, Dayang Hajah Rukiah binti Haji Mohammad Yassin; Timbalan Pengerusi, Dayang Hajah Azizah binti Haji Mirasan; dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi serta Ahli-ahli Biro Wanita MPK Sengkurong 'B'.
Lebih 40 ahli Biro Wanita MPK Sengkurong 'B' turut menyemarakkan majlis berkenaan.
Pada tahun ini, dua ahli Biro Wanita MPK Sengkurong 'B' yang diraikan pada majlis berkenaan, iaitu Dayang Hajah Rokiah binti Haji Gafar yang telah mencapai usia 70 tahun pada Mac 2026 lalu, manakala Datin Hajah Norhani binti Haji Mohammad yang mencapai usia 70 tahun pada awal Januari tahun ini.
Majlis penghargaan seumpama berkenaan diadakan pada setiap tahun kepada ahli yang mencapai usia 70 tahun.
Majlis berkenaan diadakan adalah sebagai apresiasi kepada ahli yang telah mencapai usia 70 tahun yang telah sama-sama bertungkus-lumus dalam mencurahkan tenaga, kerjasama dan berkongsi kegembiraan, serta jerih payah dalam mengukuhkan dan memantapkan lagi perkumpulan berkenaan.
Selain itu, ia juga bagi meningkatkan motivasi kerjasama yang lebih baik secara berkumpulan dalam setiap projek atau program yang dirancang oleh setiap bahagian dalam Biro Wanita MPK Sengkurong 'B'.
Sementara itu, pembukaan Majlis Sambutan Maulidur Rasul telah diadakan di Balai Ibadat Baitul Mal, Kampung Selayun Sengkurong 'B' pada 14 Ogos lalu.
Adapun tujuan Majlis Sambutan Maulidur Rasul berkenaan diadakan adalah bagi mengambil iktibar dan memperingati sirah perjuangan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang penuh dengan pengajaran dan pengorbanan demi menegakkan syiar Islam di bumi Allah Subhanahu Wata'ala.
Di samping, ia bertujuan bagi memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.