Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
TEMBURONG, Selasa, 25 Ogos. - Dalam sama-sama memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum wanita di Daerah Temburong turut tidak ketinggalan menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dengan mengadakan Majlis Perhimpunan Khas Wanita yang diadakan di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, di sini.
Hadir selaku tetamu khas majlis, isteri Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Datin Dayang Hajah Binanun binti Haji Bungsu.
Acara didahului dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Pegawai Pendidikan Ugama, Sekolah Arab Temburong, Dayang Hajah Khamsiah binti Haji Mohd. Said.
Antara pengisian utama majlis ialah Ceramah Khas yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Norhayati binti Haji Abdul Rahman, bertajuk 'Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Akidah', selaras dengan tema sambutan pada tahun ini.
Dalam ceramahnya, Dayang Norhayati menjelaskan bahawa 12 Rabiulawal merupakan tarikh yang amat bermakna bagi umat Islam dalam memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Menurutnya lagi, pengutusan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah sebagai pembimbing dan penyuluh umat manusia, membimbing umat keluar daripada kegelapan dan kesesatan kepada keimanan.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa Sambutan Maulud Nabi bukan sekadar untuk memperingati Hari Keputeraan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, tetapi lebih penting untuk menghayati ajaran, sunnah dan pedoman yang Baginda sampaikan sebagai panduan dalam menjalani kehidupan.
Dayang Norhayati seterusnya menjelaskan bahawa akidah merupakan sesuatu yang terikat dan tertanam dalam hati berupa kepercayaan serta keyakinan terhadap perkara-perkara asas dalam agama, sekali gus menjadi asas utama dalam kehidupan setiap Muslim.
Menurutnya lagi, akidah bukan sekadar sesuatu yang dilafazkan, bahkan perlu diterjemahkan melalui keyakinan dan perbuatan seharian. Sebagai contoh, keyakinan bahawa Allah Subhanahu Wata'ala Maha Melihat akan mendorong seseorang supaya sentiasa berhati-hati dalam setiap tindak-tanduknya.
Beliau turut menjelaskan bahawa akidah turut mempengaruhi cara seseorang berfikir dan membuat keputusan kerana setiap tindakan sentiasa disedari berada dalam pengetahuan dan pengawasan Allah Subhanahu Wata'ala.
Tambahnya lagi, dengan akidah dan keimanan yang mantap, seseorang akan terdorong untuk melaksanakan ibadah dengan penuh keikhlasan, membentuk akhlak yang baik serta membina hubungan yang harmoni dalam kehidupan bermasyarakat.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa tanpa akidah yang kukuh, seseorang mudah terjerumus ke dalam kesesatan dan kejahilan. Justeru, akidah perlu sentiasa dipelihara dan diperkukuh walau di mana jua berada.
Ceramah turut menyentuh mengenai kedudukan dan peranan wanita yang telah diangkat oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam daripada kedudukan yang dipandang rendah pada zaman jahiliah kepada kedudukan yang mulia dalam kehidupan bermasyarakat.
Menurutnya lagi, wanita pada masa kini juga berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mempertahankan akidah. Jika pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, cabaran mempertahankan akidah lebih banyak melibatkan penderitaan secara fizikal seperti dipukul, diikat dan diseksa, cabaran pada zaman moden pula lebih bersifat halus dan boleh melalaikan.
Sebagai kesimpulan, beliau menekankan tiga perkara utama, iaitu akidah merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dipelihara oleh setiap wanita dalam apa jua keadaan; yang mana kesusahan, kesulitan dan persekitaran bukanlah alasan untuk meninggalkan agama; serta akidah yang kukuh mampu menjadikan seseorang tetap teguh walaupun berdepan dengan pelbagai tekanan dan cabaran kehidupan.
Acara juga diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban dan Tausyeh yang dibawakan oleh Kumpulan Dhafwatul 'Aisy, Beliawanis Daerah Temburong.
Majlis antara lain bertujuan bagi menyemarakkan lagi Hari Kebesaran Islam di negara ini, di samping mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan kaum wanita di negara ini amnya dan kaum wanita Daerah Temburong khususnya.