Oleh : Khartini Hamir
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
KUALA BELAIT, Selasa, 25 Ogos. - Bagi sama-sama memperingati hari kelahiran Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum hawa di Daerah Belait turut tidak ketinggalan bagi sama-sama memeriahkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dengan mengadakan Majlis Perhimpunan Khas Wanita sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Tahun 1448 Hijrah 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan Kuala Belait, di sini.
Hadir selaku tetamu khas pada majlis tersebut ialah isteri Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Datin Dayang Zubaidah binti Haji Mahmud.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dan kemudian diikuti dengan ceramah bertajuk 'Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Aqidah' yang disampaikan oleh Dayang Siti Juhaidah binti Haji Bujang dari Pusat Da'wah Islamiah.
Acara kemudian diteruskan dengan persembahan Tausyeh berjudul 'Man Ana' daripada pelajar IBTE Kampus Jefri Bolkiah, Kuala Belait, dan sejurus itu disusuli dengan persembahan Dikir Marhaban dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Majlis ini diharap dapat menyemai semangat keagamaan yang lebih mendalam dalam kehidupan seharian wanita, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda.
Ia juga berperanan sebagai platform untuk menzahirkan teladan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kepada golongan wanita muda agar mereka membesar dengan nilai-nilai murni yang luhur.
Di samping itu, majlis ini turut memartabatkan kedudukan wanita Islam dengan menyerlahkan bahawa wanita bukan sekadar pelengkap masyarakat, malah merupakan pemimpin dan pendidik yang berwibawa serta berperanan penting dalam membentuk generasi masa depan.