Lelaki warga asing didenda BND28,570 miliki barang tegahan

7 Okt 2026 - 6:27am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 6 Oktober. - Seorang lelaki warganegara Republik Filipina dijatuhkan hukuman denda sebanyak BND28,570 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah memiliki ‘vape’ dan perisa jus ‘vape’ tanpa kebenaran yang sah.

Majistret Hajah Normazdina binti Haji Md. Maksub, menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap John Christopher Castro selepas beliau mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 146(1)(d), Perintah Eksais 2006.

Defendan didapati memiliki sebanyak 38 botol perisa jus ‘vape’ dan tiga unit ‘vape’ pelbagai jenis tanpa kebenaran yang sah.

Defendan telah ditangkap pada 3 Oktober 2026, kira-kira pukul 1.15 pagi, di Bahagian Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas.

Mahkamah menetapkan denda sebanyak BND28,570 dan sekiranya gagal menjelaskan keseluruhan denda berkenaan, defendan akan menjalani hukuman penjara selama 13 bulan.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua barang yang terlibat, termasuk ‘vape’ dan perisa jus ‘vape’ dirampas dan diserahkan kepada pihak kerajaan bagi tujuan pelupusan.