Komitmen berterusan perkukuh perpaduan ummah di peringkat serantau

5 Okt 2026 - 6:29am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Mufti Kerajaan

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 4 Oktober. - Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin, selaku wakil kepada Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, telah bertolak ke Phnom Penh, Kerajaan Kemboja hari ini bagi menghadiri Persidangan ASEAN 'Khair Ummah' Ke-4.

Turut mendampingi Dato Seri Setia Dr. Haji Japar dalam rombongan berkenaan, Pegawai Istinbat di Jabatan Mufti Kerajaan (JMK), Jabatan Perdana Menteri, Awang Abdul Hafiy bin Yahya.

Dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula pada 5 hingga 6 Oktober 2026 di Phnom Penh, persidangan bertemakan 'Pengenalan Salafisme dan Kelebihannya di Negara ASEAN (Introducing Salafism and Its Merits in ASEAN Countries)' menumpukan konsep kesederhanaan (wasatiyyah) dan peranan khair ummah.

Persidangan berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Kerajaan Arab Saudi bersama pihak berkuasa Kerajaan Kemboja.

Antara fokus utama persidangan berkenaan termasuklah membincangkan keutamaan pendekatan wasatiyyah dalam pegangan akidah, ibadah, akhlak, serta menangani cabaran-cabaran pemikiran moden, di samping memperkukuh peranan minoriti Muslim dan institusi rasmi Islam dalam mempromosi keamanan dan keharmonian sejagat di rantau ASEAN.

Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, Sheikh Dr. Abdullatif Al Alsheikh, dijadualkan untuk mempengerusikan persidangan pada kali ini, yang akan dihadiri oleh menteri-menteri, mufti-mufti, wakil daripada universiti-universiti, persatuan-persatuan Islam, pemimpin agama dan budaya dari negara-negara ASEAN.

Kehadiran rombongan JMK Negara Brunei Darussalam ke persidangan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan negara dalam menyokong usaha perpaduan ummah, pertukaran fikrah keagamaan, serta pemantapan fahaman Islam yang sederhana dan inklusif di peringkat serantau mahupun antarabangsa.