Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 8 November. - Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD) pagi tadi menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam bagi tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.
Majlis yang berlangsung di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis / Madang berkenaan disertai kira-kira 280 orang yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan yang bergabung di bawah MWNBD serta jemputan khas daripada persatuan - persatuan sahabat MWNBD.
Hadir pada majlis berkenaan, Yang Dipertua MWNBD, Datin Hajah Dayang Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohd. Yusof, serta Naib-naib Yang Dipertua MWNBD.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Dipertua MWNBD, diikuti bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah secara beramai-ramai.
Acara diteruskan dengan bacaan doa memulakan bacaan Al-Quran, sebelum para peserta bersama-sama mengkhatamkan Al-Quran bermula dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad yang diketuai oleh Dayang Siti Nor Azimah binti Haji Tindas daripada Persatuan Wanita Kampung Junjungan (PEWAJA) yang juga seterusnya memimpin bacaan Takhtim dan Doa Khatam Al-Quran.
Doa Tahlil pula dibacakan oleh Dayang Hajah Mahani binti Haji Aris daripada Persatuan Kebajikan Perempuan Daerah Belait (PKP).
Doa Kesyukuran Khas sempena Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha bagi tahun 2026 dibacakan oleh Dayang Haji Fatimah binti Haji Abd. Ghani daripada Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD).
Sementara itu, ahli-ahli Persatuan Kebajikan Wanita Perumahan Negara Lambak Kanan (BAKANITA), Persatuan Kebajikan Perempuan Daerah Belait (PKP) dan Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) mengetuai Dikir Marhaban.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Dayang Hajah Jusnani binti Awang Taha daripada Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) seterusnya bacaan Kafaratul Majlis dan Surah Al-Asr.
Penganjuran majlis berkenaan merupakan salah satu aktiviti tahunan MWNBD sebagai tanda kasih dan penghormatan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri selaku Penaung Diraja MWNBD.
Antara objektif utama majlis berkenaan adalah untuk merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri sentiasa dilanjutkan usia, dikurniakan taufik dan hidayah, kesihatan yang baik serta berada dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.
MWNBD dianggotai oleh 13 buah persatuan, iaitu Persatuan Pertiwi, WI, Badan Kebajikan Isteri Pegawai-Pegawai Kerajaan, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Wanita Kerajaan Brunei Darussalam (BISTARI), PPPBD, Badan Kebajikan Isteri-Isteri Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (BAKTI), PKP, PGGMB, Persatuan Kebajikan Gabungan Wanita Daerah Tutong (PERGANITA), BAKANITA, Persatuan Siswazah Wanita (PSW), Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL), PEWAJA dan Persatuan Nurul Islam (PNI).