Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 21 Ogos. - Polis Marin (PolMar), Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menggagalkan satu percubaan untuk membawa masuk barang yang tidak diisytiharkan melalui perairan negara.
Semasa menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan perairan Teluk Brunei, bot peronda PolMar telah mengesan sebuah perahu yang mencurigakan di sekitar kawasan perairan Pulau Chermin.
Dalam usaha untuk menahan dan memeriksa, perahu tersebut berjaya dipintas setelah suspek bertindak mendaratkan perahunya ke tebing sungai di sekitar Kampung Sungai Besar sebelum melarikan diri ke darat.
Pemeriksaan mendapati perahu tersebut membawa barangan tegahan iaitu rokok pelbagai jenis terdiri daripada rokok jenama Era Premium - 150 karton; rokok jenama Era Black Menthol - 150 karton; rokok jenama Grow Black Ice - 10 karton dan rokok jenama Win Mild - dua karton.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 146(1)(d) Perintah Eksais 2006. Kesemua barang rampasan termasuk perahu diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja untuk siasatan dan tindakan lanjut.
PPDB akan terus mempertingkatkan rondaan dan pemantauan bagi memastikan perairan negara bebas daripada sebarang kegiatan jenayah.
PPDB menasihatkan orang ramai untuk tidak terlibat dalam sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang Negara Brunei Darussalam serta menyeru orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau pelanggaran undang-undang melalui Talian Kecemasan 993 atau di mana-mana balai polis yang berdekatan.