Siaran Akhbar : Jabatan Perdana MenteriFoto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
REPUBLIK SINGAPURA, Jumaat, 2 Oktober. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini menamatkan lawatan ke Republik Singapura bagi Program Pemimpin-pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei Kali Ke-12.
Sebelum berangkat balik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan melawat Punggol Digital District (PDD) dan Singapore Institute of Technology (SIT).
Atur cara hari ini bermula di PDD, di mana Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung untuk Majlis Sarapan Pagi yang dihoskan oleh Timbalan Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Gan Kim Yong.
Semasa lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima sembah taklimat mengenai PDD dan SIT. Sembah taklimat antara lain mengetengahkan PDD sebagai kawasan perindustrian pintar dan lestari pertama di Republik Singapura yang dibangunkan melalui model perkongsian serta direka bentuk untuk mengintegrasikan sektor industri, perusahaan dan akademik secara menyeluruh.
Manakala SIT berperanan sebagai rakan strategik dalam kerjasama industri-akademia, pembangunan bakat dan inovasi melalui kemudahan bersama serta pelbagai inisiatif penyelidikan.
Sebelum sesi pembentangan tersebut, DYTM bersama dengan Tuan Yang Terutama Gan Kim Yong telah meninjau kawasan PDD yang mempamerkan infrastruktur perkongsian, rangka kerja integrasi digital dan ekosistem pendidikan inovatif yang menjadi ciri utama daerah pintar tersebut.
Sebelum berangkat balik, DYTM berpeluang untuk berinteraksi dengan robot yang direka oleh para pelajar dan menaiki kenderaan autonomi bersama Tuan Yang Terutama.
Lawatan ini mengetengahkan pertukaran ilmu yang berterusan antara pemimpin generasi masa hadapan kedua-dua negara, khususnya dalam bidang transformasi digital, inovasi teknologi dan reka bentuk bandar yang mampan.