4 pemilik kenderaan dikenakan denda kompaun

27 Og 2026 - 5:07am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 26 Ogos. - Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JB BSB) melalui Unit Penguatkuasaan Aset Bandaran dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu operasi pemeriksaan bersepadu, bertempat di kawasan Pasar Gadong dan Pasar Pelbagai Barangan Gadong.

Hasil daripada pemeriksaan berkenaan, pihak PPDB telah mengeluarkan denda kompaun terhadap pemilik empat buah kenderaan atas kesalahan meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dikhaskan sebagai ruang letak kereta, di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya (Penggal 68).

Pihak JB BSB ingin mengingatkan para pengunjung dan pengusaha di kawasan berkenaan agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan lalu lintas yang ditetapkan. Langkah berkenaan penting bagi memastikan kelancaran arus lalu lintas, keselesaan awam, serta keselamatan para pengguna jalan raya di kawasan komersial berkenaan.

Tindakan undang-undang dan penguatkuasaan akan terus dijalankan secara berperingkat dari semasa ke semasa bagi menangani isu letak kereta secara tidak teratur.