173 murid TASKA YSHHB terima sijil, hadiah

9 Nov 2026 - 7:47am

Siaran Akhbar dan Foto : Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

BERAKAS, Ahad, 8 November. - Seramai 173 orang murid Taman Asuhan Dua dari Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) baru-baru ini diraikan pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil-sijil Akademik serta Persembahan Taman Asuhan Dua Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan TASKA YSHHB, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Perhubungan Awam, YSHHB, Dayangku Azami binti Pengiran Haji Ahmad.

Para murid yang diraikan turut mengambil bahagian dalam persembahan yang bertemakan 'Under the Sea, Every Little Life Matters'.

Persembahan tersebut mengetengahkan bakat, kreativiti dan kebolehan murid-murid melalui pelbagai persembahan yang menarik, serta memupuk kesedaran dalam kalangan anak-anak tentang pentingnya menjaga kebersihan dan memelihara ekosistem laut.

Acara turut diserikan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengetua Sekolah Rendah dan TASKA YSHHB, Dayang Hajah Hafizah binti Haji Salat.

Pengetua Sekolah Rendah dan TASKA YSHHB dalam ucapannya antara lain menjelaskan bahawa bagi murid-murid Taman Asuhan Dua, di usia 4 tahun dan di peringkat usia awal kanak-kanak, kecemerlangan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata.

Jelasnya, fokus pembelajaran adalah kepada penguasaan kemahiran asas seperti mewarna, mengenal bentuk, nombor dan huruf, mendengar dan memahami arahan dengan mudah, berkomunikasi menggunakan ayat ringkas, serta membina kemahiran fine motor skills seperti memegang pensel dan gunting dengan betul, kemahiran hidup seperti memakai baju sendiri dan kebersihan diri serta kemahiran praktikal adalah sangat penting untuk dididik dalam Taman Asuhan Dua ini.

Ia antara lain diadakan untuk memberikan pendedahan dan peluang kepada murid-murid untuk meningkatkan keyakinan diri serta keberanian ketika membuat persembahan di atas pentas dan di hadapan khalayak ramai.

Selain untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada murid-murid atas usaha, komitmen dan ketekunan mereka dalam pencapaian akademik, di samping perkembangan holistik yang merangkumi aspek sahsiah, sosial, emosi dan kreativiti.

Majlis tersebut diharapkan dapat menjadi wadah untuk meraikan pencapaian murid-murid serta memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna dalam membentuk perkembangan dan potensi diri mereka secara menyeluruh.