Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
TANAH JAMBU, Ahad, 4 Oktober. - Majlis Perundingan Kampung (MPK) Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Sungai Buloh (Bukit Sibanging) mengadakan Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Muafakat Peladang Kampung Tanah Jambu / Salar, hari ini.
Majlis anjuran Biro Wanita MPK STKRJ Sungai Buloh ini adalah kali ke-4 ia diadakan bertujuan untuk memohon keberkatan serta keredaan Allah Subhanahu Wata'ala. Majlis Khatam Al-Quran kali ini meraikan seramai 12 peserta yang telah berjaya menamatkan pembacaan 30 juzuk Al-Quran.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim yang juga memimpin bacaan Surah Al-Fatihah pada majlis tersebut.
Acara diteruskan dengan bacaan Khatam Al-Quran daripada Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas oleh para peserta khatam. Manakala, Doa Khatam pula dipimpin oleh Awang Jamaludin Aman.
Turut hadir, Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, A. Hamidun bin Mohd. Daud yang juga Ketua Kampung STKRJ Sungai Buloh, Ketua - ketua dan Pemangku Ketua-ketua Kampung Mukim Mentiri bersama isteri masing-masing.
Dengan adanya majlis seumpama ini diadakan dengan harapan semoga kita semua istiqamah dengan Al-Quran, mendapat rahmat Allah Subhanahu Wata'ala dan mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan penduduk-penduduk mukim dan kampung khususnya Mukim Mentiri.