SYDNEY, 12 Julai. - Seorang lelaki maut dan dua lagi dimasukkan ke hospital berikutan dua insiden tikam berasingan di negeri New South Wales (NSW) Australia, kata polis.
Menurut Polis NSW, perkhidmatan kecemasan bertindak balas terhadap laporan kejadian tikam di pinggir bandar Hamilton South, kira-kira 115 kilometer ke utara Sydney, sekitar 3.30 petang Sabtu, lapor Xinhua.
Pegawai polis tiba di tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki dipercayai berusia 40-an dengan kesan tikaman. Dia dirawat oleh paramedik ambulans sebelum dibawa ke hospital, namun kemudian meninggal dunia.
Dalam kejadian berasingan, perkhidmatan kecemasan dipanggil susulan laporan serangan di sebuah rumah di barat Sydney sejurus selepas tengah malam.
Polis NSW berkata pegawai menemui sekumpulan penduduk berkumpul di rumah itu tetapi pada mulanya tidak menjumpai sesiapa yang mengalami kecederaan.
Tidak lama kemudian, dua lelaki dipercayai berusia 20-an, ditemui berhampiran dalam kenderaan berasingan, seorang dengan kesan tikaman pada bahagian badan dan seorang lagi cedera pada paha.
Kedua-duanya dibawa ke hospital dalam keadaan stabil. Polis telah mewujudkan tempat kejadian jenayah di kedua-dua lokasi dan sedang menyiasat kes. - ©BERNAMA