ACCRA, 5 Ogos. - Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam letupan dinamit di Wilayah Barat Ghana pada Selasa, menurut media tempatan, lapor Xinhua.
Kejadian berlaku di Aboso, sebuah bandar perlombongan dalam kawasan perbandaran Prestea Huni Valley, ketika cubaan membunuh seekor ular mencetuskan letupan berkenaan.
Menurut seorang saksi, seorang lelaki dipercayai cuba menembak seekor ular, tetapi pelurunya terkena bahan letupan yang disimpan berdekatan lalu mencetuskan letupan besar.
Pasukan kecemasan dikerah ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan dan membantu mangsa.
Pihak berkuasa masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden itu. - ©BERNAMA