VIENNA, 7 Ogos. - Ribut kuat mencetuskan banjir dan tanah runtuh di kawasan pergunungan di barat Austria, menyebabkan beberapa pendaki terkandas di sebuah pondok perhentian, lapor Agensi Berita Jerman (DPA).
Polis pada Jumaat memaklumkan tiga kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan percutian popular Zillertal pada Khamis malam, sekali gus menghalang sementara laluan di lembah berkenaan akibat timbunan lumpur dan serpihan.
Seramai 11 orang terkandas di sebuah pondok perhentian berhampiran Bad Gastein, menurut penyiar Austria, ORF.
Enam pendaki dipindahkan menggunakan helikopter pada Khamis malam, manakala kakitangan pondok itu kekal berada di lokasi.
Anggota bomba turut dipanggil untuk menangani banjir di ruang bawah tanah dan jalan raya di Innsbruck dan Kitzbuhel, lapor agensi berita APA. Tiada kecederaan dilaporkan.
Di negeri Salzburg, hujan lebat menyebabkan beberapa sungai melimpah.
Di perbandaran Uttendorf, air melimpah ke sebahagian kawasan penempatan dan menyebabkan beberapa jalan raya tidak dapat dilalui, lapor APA yang memetik perkhidmatan bomba negeri.
Kejadian tanah runtuh turut dilaporkan di pusat peranginan Dorfgastein dan Bad Gastein. - ©BERNAMA