ANTALYA (REPUBLIK TÜRKIYE), 7 Okt. - Stesen angkasa lepas Republik Rakyat China akan menjadi platform eksperimen yang terbuka kepada saintis dari seluruh dunia, kata Naib Ketua Pereka Program Angkasa Bermanusia China Yang Liwei.
Beliau berkata Republik Rakyat China bersikap terbuka untuk mengadakan pertukaran dan kerjasama dengan pelbagai negara dalam industri aeroangkasa.
Yang, yang juga angkasawan pertama Republik Rakyat China, berkata demikian ketika menghadiri Persidangan Astronautik Antarabangsa (IAC) ke-77 di sini baru-baru ini.
IAC tahun ini membuka tirai di Antalya, bandar peranginan terkenal di Republik Türkiye pada Isnin, menghimpunkan pemimpin, penyelidik dan pemain industri dari seluruh dunia.
"Stesen angkasa lepas Republik Rakyat China akan menjadi platform eksperimen terbuka.
"Republik Rakyat China bersedia mengadakan kerjasama dengan pelbagai negara dalam penyelidikan saintifik, latihan angkasawan dan pendidikan sains angkasa, di samping bersedia memberikan peluang penerbangan kepada negara-negara berkaitan," kata Yang.
Pada separuh kedua tahun ini, stesen angkasa lepas Republik Rakyat China akan menerima kehadiran angkasawan asing buat kali pertama.
Menurut Yang, dua calon angkasawan asing itu sedang menjalani latihan dan menunjukkan prestasi yang amat cemerlang. - ©BERNAMA